[VIDEO] Sentuhan kreatif Katarina Hernandez 'pukau' peminat perabot lama, dari warna pudar bertukar mewah, eksklusif


  • Hias
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Almari lama diberi nafas baharu dengan sentuhan warna mewah dan kemasan emas ala istana dongeng.

SENTUHAN seni mampu mengubah sebuah perabot lama menjadi karya eksklusif yang memukau pandangan.

Itulah dilakukan oleh Katarina Hernandez, seorang artis perabot terkenal dengan kreativiti dan ketelitian dalam menghasilkan transformasi perabot.

Setiap hasil kerjanya memberi nafas baharu, menjadikan sesuatu yang biasa tampak mewah, hidup dan penuh karakter.

BACA LAGI: Demi cinta, 'passion', suami isteri realisasi impian bersama buka kelab hoki kanak-kanak

BACA LAGI: Myvi lesap lepas pulang 'outstation', rupanya kereta dijual kekasih kepingin pakai beg Chanel

Minat mendalam terhadap seni dekorasi mendorong Katarina untuk berkongsi proses transformasi perabot di media sosial, khususnya di Instagram.

Antara hasil kerjanya yang paling mencuri tumpuan ialah transformasi sebuah almari lama menjadi persis almari puteri kayangan penuh mewah, glamor dan berkarisma, seolah-olah baru keluar dari istana dongeng.

Katarina berkongsi bahawa projek almari itu mengambil masa berjam-jam untuk disiapkan, namun setiap detik yang dihabiskan sangat berbaloi.

Warna utama digunakan gabungan merah jambu dan kelabu bayang, manakala kemasan emas pula dihasilkan melalui adunan lilin hiasan rona Eternal dan Cosmic Ray yang memberikan sentuhan emas istimewa.

Gabungan warna itu menjadikan almari tersebut kelihatan anggun dan elegan, sesuai dengan tema puteri raja menjadi inspirasinya.

Menurut Katarina, beliau memang menjadikan cat emas sebagai tanda tangan khas dalam setiap hasil karyanya.

Penggunaan cat emas pada bahagian ukiran dan bingkai perabot menonjolkan butiran seni yang halus, sekali gus memberi sentuhan mewah yang membuatkan perabot lama tampil eksklusif.

"Selepas berjam-jam bekerja menyiapkan almari ini, setiap saat yang diluangkan benar-benar berbaloi. Saya gembira melihat hasilnya yang seperti hidup semula," katanya menerusi laman Instagram.

Selain projek almari itu, Katarina juga sering melakukan transformasi terhadap pelbagai jenis perabot lama seperti meja solek, kerusi kayu dan kabinet lama.

Beliau percaya setiap perabot mempunyai potensi untuk diberi peluang kedua dan dengan sedikit kreativiti serta kerja tangan yang teliti, ia boleh menjadi pusat perhatian di dalam ruang kediaman.

Katarina turut menekankan bahawa proses mencantikkan semula perabot bukan sekadar untuk cantik dipandang, tetapi juga memberi nilai emosi.

Ramai pelanggan datang kepadanya dengan perabot lama yang mempunyai nilai sentimental, warisan keluarga atau hadiah perkahwinan dan selepas proses transformasi, mereka dapat melihat perabot tersebut hidup semula dengan rupa baharu tetapi tetap menyimpan memori lama.

Transformasi almari yang dikongsikan di media sosial menerima banyak reaksi positif daripada pengikutnya.

Ramai memuji keberaniannya menggunakan warna terang dan teknik kemasan emas yang mempesona.

Ada juga berkongsi bahawa video transformasi tersebut memberi inspirasi kepada mereka untuk mencuba mengecat perabot sendiri di rumah.

Katarina berharap agar usaha dan minatnya ini dapat menggalakkan lebih ramai orang menghargai perabot lama, bukan terus membuang atau menggantikannya dengan yang baharu.

Katanya, selain menjimatkan kos, ia juga membantu mengurangkan pembaziran dan memberi nilai tambah pada ruang kediaman kerana setiap perabot hasil transformasi mempunyai identiti tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram