
KEHILANGAN insan tersayang seringkali meninggalkan ruang kosong yang sukar diganti.
Bagi seorang anak kecil, kasih ayah ibarat dunia penuh warna tempat bermanja, ketawa dan berlindung dari segala duka.
Momen bersama ayah adalah memori yang akan terus hidup dalam hati walaupun jasadnya tidak lagi di sisi.
BACA LAGI: Pementasan koleksi terakhir Giorgio Armani bakal jadi tumpuan utama tetamu Minggu Fesyen Milan
BACA LAGI: Formula 3-5-7 rahsia rumah cantik, panduan hias kediaman agar nampak lebih kemas, terancang
Perkongsian video dimuat naik oleh Public Health Malaysia, asalnya daripada Liliyayanana, menjadi tular kerana menyentuh emosi ramai.
Video itu memaparkan detik-detik indah antara arwah Mohamad Faezal dan anak perempuannya sarat kasih sayang yang begitu tulus.
Setiap babak seakan bercerita bahawa seorang ayah adalah cinta pertama seorang anak perempuan.
Gelagat arwah ketika melayan karenah anaknya membuat ramai yang menonton menitiskan air mata.
Kasih seorang bapa ditunjukkan bukan hanya melalui kata-kata, tetapi melalui masa diluangkan, senyuman dihadiahkan dan pelukan hangat setiap kali pulang dari kerja.
Video tersebut memaparkan momen istimewa seperti arwah mendukung anaknya menari ketika kecil, ketawa bersama ketika merakam video, hingga adegan lucu apabila si anak menyolek wajah ayahnya yang sedang lena diulit mimpi.
Semua itu menjadi momen indah bagaimana arwah begitu menghargai masa yang ada untuk mencipta memori bersama anak kesayangan.
Namun, penghujung video suasana menjadi pilu apabila Liliyayanana berkongsi rakaman anaknya menabur bunga di pusara arwah ayah.
Momen itu mengingatkan kita bahawa kehidupan ini hanyalah sementara dan setiap detik bersama insan tersayang perlu dihargai.
Perkongsian itu memberi kesedaran kepada ramai bahawa kasih sayang seorang ayah adalah anugerah yang tidak ternilai.
Ia juga menjadi peringatan untuk kita mencipta sebanyak mungkin memori indah bersama keluarga sebelum tiba saat perpisahan yang tiada siapa dapat menduga.
Komen orang ramai di ruangan hantaran video tersebut turut menyentuh hati.
Antaranya, Intan Anna berkata, "Buah hati pertama untuk seorang anak perempuan adalah ayah. Al-Fatihah, semoga arwah ditempatkan di syurga ALLAH. Orang baik, ALLAH sayang."
Fatin Zulaika turut berkongsi pengalaman peribadinya, "Adik bongsu saya kehilangan ayah ketika berusia dalam darjah lima. Kasihan melihatnya membesar tanpa ayah walaupun dia jarang meluahkan rasa hatinya. Kadangkala dia terlepas cakap tentang rakan-rakan yang masih mempunyai ayah. Al-Fatihah untuk arwah ayah saya, Mardzuki Bin Musa."
Zunaida Wati pula menulis, "Ibu kepada anak ini sangat memainkan peranan dalam setiap momen antara ayah dan anak. Semoga anak ini membesar menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti, insya-ALLAH."
Perkongsian itu jelas memberi kesan mendalam kepada orang ramai kerana ia bukan sekadar video, tetapi cerminan nilai kasih sayang yang sejati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram