
LANGKAHNYA kecil, tetapi pantas. Hazrita Mohd Hatta tampak anggun dalam persalinan baju kurung moden berwarna merah jambu, tersenyum ceria ketika menghampiri.
Semakin dekat, beliau meletakkan tangan kanan oada dada sebagai isyarat halus penuh sopan yang terselit kisah mendalam di sebaliknya.
“Bagi saya tarik nafas sekejap, minggu lepas saya baru jalani prosedur angioplasti,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Guru peluk murid baru kehilangan bapa, kongsi momen sebak ingat pengalaman sendiri
BACA LAGI: [VIDEO] Tiga kali ubah tarikh, cef nikah di ICU hospital Seremban, tunai hasrat terakhir arwah bapa
Sukar membayangkan pengakuan jujur itu daripada seorang wanita yang begitu periang dan penuh tenaga.
Jika tidak menyebut tentang prosedur tersebut, pasti tiada siapa menyangka kurator seni berusia 52 tahun itu masih dalam tempoh pemulihan.
“Saya akan jalani satu lagi prosedur pada Oktober nanti,” kongsinya yang mesra disapa Rita, sambil meninjau pameran seni anjuran syarikatnya, Art Market Malaysia bersama Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.
Bagi Rita, seni bukan sekadar ekspresi, tetapi wadah mendidik dan menyuarakan isu besar seperti rasuah dan keselamatan.
Tiada kerisauan tergambar pada wajah, sebaliknya mata Rita bersinar penuh semangat melihat persiapan pameran.
Prosedur angioplasti itu bukanlah ujian pertama dalam hidupnya. Rita adalah survivor strok, bukan sekali, tetapi dua kali.
Bagi yang mengenalinya, beliau adalah bukti hidup bahawa strok bukan noktah penamat, tetapi panggilan untuk permulaan baharu.
Membesar sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, Rita mula belajar erti kerja keras sejak kecil dengan membantu keluarga berniaga daging di pasar dan bengkel tayar milik ayahnya.
Karier profesionalnya bermula dalam bidang hospitaliti. Dengan bakat semula jadi dan disiplin kerja, beliau meniti dari jawatan asas di sebuah resort sehingga menjadi penolong pengurus.
“Kerana terlalu teruja dan bersemangat, saya cuba pula bidang lain.
"Masa muda, kita rasa tahu semua benda tapi keyakinan tanpa pengalaman itu akhirnya jadi punca kejatuhan saya,” ceritanya jujur.
Tidak berputus asa, Rita berhijrah ke Kuala Lumpur dan menemukan bakatnya dalam pengurusan acara sehingga bergelar workaholic.
"Sehari saya boleh hantar 50 e-mel atau kertas cadangan tanpa rasa terbeban. Kerja itu minat dan saya nikmatinya setiap saat," akuinya lagi.
Rita (kanan) bersama suami, Mohamed Hussein Mohamed Ahmed, 55, yang juga rakan kongsi perniagaannya, di salah satu pameran mereka.
Ujian strok
Segalanya berubah pada Mei 2014 apabila beliau diserang strok pertama hanya tiga hari selepas penganjuran sebuah majlis anugerah besar.
Tubuhnya lumpuh separuh, pertuturannya terjejas dan memori pula terganggu.
“Paling sukar apabila saya tidak mampu bercakap dan bergerak seperti dahulu. Hidup ini berubah sepenuhnya,” ungkapnya.
Namun berkat didikan tegas ayah, sokongan ibu dan keluarga, Rita bangkit menjalani rawatan enam bulan.
Dua minggu selepas strok, dirinya sudah boleh berjalan perlahan. Enam bulan kemudian, bahagian kanan tubuhnya kembali berfungsi sedikit demi sedikit.
Pada 2018, beliau sekali lagi diuji dengan strok kedua.
“Hingga sekarang saya masih susah menulis, hanya boleh tulis nama sendiri. Saya juga rindu memandu,” kongsinya yang kini hanya mampu memberi 50 peratus untuk kerja, berbanding 150 peratus sebelum ini.
Rita (duduk, berbaju hitam) bersama insan tersayang yang banyak memberikan sokongan padu. — Rita Hatta
Seni
Daripada titik pemulihan itulah lahirnya Art Market Malaysia, platform seni yang diasaskan bersama adiknya, Naizatulliza.
Biarpun bermula tanpa modal besar, Rita berjaya menganjurkan lebih 100 pameran, termasuk Wonder Women Art Exhibition yang mencatat jualan hampir RM60,000.
Bagi Rita, seni bukan sekadar ekspresi, tetapi wadah mendidik dan menyuarakan isu besar seperti rasuah, keselamatan serta pemerdagangan manusia.
Kini, walaupun kesihatan masih memerlukan perhatian, Rita menguruskan hidup dengan lebih seimbang.
Beliau menjaga pemakanan, berjalan setiap hari dan menyesuaikan beban kerja mengikut kemampuan.
Cita-citanya tetap membara, yakni membawa Art Market Malaysia ke pentas antarabangsa, termasuk pameran di Perancis dan London.
Hazrita adalah bukti bahawa ujian hidup bukan noktah, tetapi peluang untuk permulaan baharu. — The Star/ZALINA MOHD SOM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram