Kenali personaliti ikut warna kegemaran, jangan kerja 'cincai' dengan pencinta rona hitam, ini sebabnya...


  • Maya
  • Isnin, 15 Sep 2025

Warna kegemaran mendedahkan karakter tersembunyi, peminat hitam misalnya, seorang yang mementingkan kualiti, disiplin dan ketelitian kerja.

TAHUKAH anda, warna kegemaran atau diminati bukan sekadar pilihan semata-mata.

Warna kegemaran itu memberi petunjuk tentang keperluan, membentuk tabiat dan mempengaruhi keputusan harian.

Dari cara menghias bilik, memilih pakaian sehingga membuat keputusan penting dalam kehidupan seharian.

BACA LAGI: Nak hidup minimalis, rumah lebih lapang, ini 10 benda anda patut 'stop' beli

BACA LAGI: [VIDEO] Sentuhan kreatif Katarina Hernandez 'pukau' peminat perabot lama, dari warna pudar bertukar mewah, eksklusif

Tanpa sedar, warna itu menjadi kompas kecil yang membawa ke mana-mana.

Pada masa menentukan mood, kelajuan tindakan, malah kesan pertama yang anda berikan pada orang lain.

Biru tenang, merah berani

Biru sering dikaitkan dengan kepercayaan. Mereka yang gemar warna biru biasanya sukakan perancangan tenang, komunikasi jelas dan hubungan kukuh.

Mereka setia dengan rutin, menepati janji dan menjadi pendengar yang baik. Dalam suasana tegang, mereka menyejukkan keadaan agar semua boleh bertenang sebelum kembali bekerja.

Sementara itu, merah pula membawa tenaga dan keberanian. Peminat merah gemar bertindak pantas, sasaran jelas dan sanggup mengambil risiko. Mereka menggerakkan projek, membuat keputusan segera dan menjadi pencetus semangat apabila pasukan hilang fokus.

Merah adalah warna yang sesuai dibawa ke bilik mesyuarat apabila tindakan segera diperlukan.

Hijau seimbang, kuning ceria

Hijau mewakili keseimbangan dan pemulihan. Mereka yang sukakan hijau biasanya menjaga tenaga, menghargai masa rehat dan mengutamakan aturan hidup yang stabil.

Di rumah ataupun di pejabat, kelompok rona itu gemar mewujudkan suasana harmoni bagi mengelak perkara yang menyerabutkan kepala.

Kuning pula adalah warna harapan. Peminat kuning biasanya membawa idea baharu, menceriakan suasana dan memberi semangat kepada orang sekeliling. Mereka mampu melihat sisi positif walaupun dalam minggu-minggu sukar dan mendorong orang lain untuk mencuba cara baharu.

Gabungan hijau dan kuning sangat sesuai untuk projek panjang kerana hijau memberi perancangan dan kestabilan, manakala kuning memberi tenaga serta idea baharu.

Jingga mesra, ungu kreatif

Jingga dikaitkan dengan sifat sosial. Mereka yang sukakan jingga suka bergaul, mencipta suasana ceria dan menghidupkan suasana. Mereka gemar mencuba perkara baharu dan menjadi penggerak aktiviti dalam kumpulan.

Ungu melambangkan kreativiti dan imaginasi. Peminat ungu suka berfikir luar kotak, meluangkan masa untuk mencipta, melakar dan mencari sudut pandang berbeza. Apabila berganding dengan peminat jingga, gabungan itu menghidupkan suasana mesyuarat kerana jingga mengumpulkan orang, ungu mencetuskan idea baharu.

Merah jambu penyayang, hitam tegas

Merah jambu membawa kelembutan dan kasih sayang. Mereka yang memilih merah jambu suka menjaga hubungan, memberi perhatian pada butiran kecil dan memupuk rasa selamat dalam kumpulan.

Hitam pula melambangkan kekuatan dan ketegasan. Mereka yang sukakan hitam biasanya mementingkan kualiti, disiplin dan ketelitian. Mereka memastikan hasil kerja rapi dan standard kerja kekal tinggi.

Gabungan merah jambu dan hitam memberi keseimbangan kerana kasih sayang dan ketegasan dalam satu masa.

Putih bersih, kelabu rasional

Putih sinonim dengan kesederhanaan dan ketenangan. Mereka yang memilih putih gemar ruang yang lapang, kemas dan teratur. Ia memberi ruang minda untuk bernafas dan fokus.

Kelabu pula membawa ketenangan logik. Peminat kelabu biasanya membuat keputusan berdasarkan fakta dan berhati-hati dalam setiap langkah. Mereka memastikan proses berjalan teratur tanpa tergesa-gesa.

Campuran putih dan kelabu membantu mencipta ruang kerja atau rumah yang tenang, sesuai untuk merancang, membaca dan menyiapkan kerja dengan fokus. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram