
MENEWASKAN 15 peserta lain, perunding pengurusan, Chloe Lim berjaya merangkul takhta Miss Universe Malaysia 2025 pada Jumaat.
Kemenangan Chloe atau nama sebenarnya, Chloe Lim Sue Lyn itu sekali gus melayakkan dirinya untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2025 di Pak Kret, Nonthaburi, Thailand pada November nanti.
Bukan dilihat daripada sudut kecantikan semata-mata, wanita berusia 27 itu bahkan mempunyai latar belakang pendidikan yang mengagumkan.
BACA LAGI: Haram 'tadah' wajah dirias jurusolek lelaki kecuali darurat, jangan buka ruang fitnah
Priyaa (kiri), Chloe (tengah) dan Jen Li (kanan). — Instagram/Miss Universe Malaysia
Chloe pernah menuntut di United Kingdom (UK); New York, Amerika Syarikat (AS); Portugal dan Estonia selain memiliki dua ijazah sarjana (Master) dari London, UK.
Ilmunya yang luas itu secara tidak langsung memberi pemahaman lebih mendalam tentang ketidakseimbangan peluang dan akses kepada pendidikan.
Berbekalkan pengalaman tersebut, beliau mengambil langkah berani membantu komuniti di Malaysia mahupun luar negara agar memperoleh peluang pendidikan dan sokongan sama rata.
Antara usaha murninya termasuk mengajar anak-anak yatim di Vietnam dan membangunkan ruang selamat untuk kanak-kanak perempuan di Portugal.
Di luar bidang kebajikan, Chloe aktif dengan hobi menunggang kuda, bermain tenis serta gemar mengembara.
Seorang pencinta haiwan sejak kecil, beliau turut membesar bersama enam ekor anjing jalanan yang diselamatkan selain mempunyai sisi kreatif dengan mempelajari piano dan biola.
Menyertai pertandingan ratu cantik buat pertama kali, Chloe membawa matlamat untuk mewakili Malaysia dengan gabungan keperibadian penuh belas ihsan, intelektual dan keaslian.
Sementara itu, tempat kedua Miss Universe Malaysia 2025 dimenangi oleh penasihat perniagaan, Priyaa Simmi, 30, dan model, Jen Li, 28, meraih tempat ketiga.
Untuk rekod, Sandra melakar sejarah negara apabila menjadi wakil Malaysia pertama dalam tempoh 54 tahun tersenarai dalam Terbaik 30 daripada 125 peserta dalam pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico City, Mexico.
Pada acara kemuncak, penampilan Chloe tampak anggun dan elegan dengan menggayakan gaun songket keemasan rekaan Rozie Khan Couture.
Sementara itu, Theresa Mau merias beliau dan jambangan bunga ungu pula sentuhan Flower Chimp. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram