'Kita terlalu banyak beli baju hingga kecantikan sebenar hilang', jurugambar kembara serata dunia untuk temui 'wanita klasik'


  • Gaya
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Antara pakaian tradisional yang digayakan oleh wanita di beberapa buah negara.

PAKAIAN atau busana sememangnya mencerminkan identiti baik bagi sesebuah budaya, agama mahupun negara.

Setiap elemen dimasukkan dalam rekaan dari pilihan warna, sulaman sehinggalah perhiasan, ia membawa makna tersendiri, sekali gus melambangkan sejarah dan warisan masyarakat.

Menyedari nilai penting tersebut, seorang jurugambar wanita dikenali sebagai Mihaela Noroc, berkongsi perjalanannya merentas benua dengan merakamkan potret para wanita dalam persalinan tradisional negara masing-masing.

BACA LAGI: 'Sejak bila sekolah ada standard T20, B40, M40?', bapa persoal bayaran majlis graduasi anak darjah 6

BACA LAGI: Tanpa belas kasihan, pak menteri sanggup tinggalkan isteri lumpuh ketika protes Gen Z Nepal

Menerusi laman Instagram @the.atlas.of.beauty, beliau memaparkan video dan foto antara destinasi dikunjunginya termasuk Afghanistan, Amerika Syarikat, Ethiopia, Itali dan Jepun.

Kehalusan sulaman dan warna terang pakaian tradisional wanita di Afghanistan misalnya, beliau menyifatkan keunikan itu menyerlahkan seri dan penampilan wanita tempatan.

Menariknya, gaun digayakan turut dihiasi benang emas atau perak dan taburan manik yang membentuk corak sulaman khas.

Antara motif sering dilihat pada busana itu adalah geometri dan flora.

Bukan itu sahaja, jurugambar berkenaan turut berkongsi gaya klasik dipamerkan wanita di Ethiopia yang mungkin sukar ditemui dalam kalangan masyarakat moden.

Bertambah unik, sesetengahnya menggayakan busana bersama perhiasan kepala.

Bukanlah sekadar perhiasan, namun ia merupakan lambang tradisi dan keanggunan mereka.

Dari Eropah ke Asia, jurugambar itu sempat merakam wanita Jepun lengkap dengan pakaian Kimono.

Kebanyakan pakaian tradisional di negara-negara maju kini dipakai pada waktu dan lokasi tertentu seperti majlis perkahwinan atau acara rasmi.

Kesemua gambar yang dikongsikan jurugambar itu bagaimanapun berperanan sebagai usaha memelihara budaya global agar tidak terus dilupakan oleh generasi akan datang.

"Kita terlalu banyak membeli baju pada hari ini sehingga kecantikan sebenar semakin menghilang.

"Dalam era yang semakin maju, kita perlu belajar daripada zaman dahulu dan mencari kecantikan sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram