
PENGGUNAAN perkhidmatan jurusolek lelaki merias wajah wanita Muslimah kini semakin mendapat perhatian baik dalam kalangan selebriti mahupun masyarakat.
Pemilihan makeup artist (MUA) lelaki hari ini nampaknya bukan sahaja untuk menyerlahkan seri wajah wanita ketika menghadiri majlis formal ataupun majlis keramaian, bahkan untuk majlis akad nikah.
Situasi tersebut secara tidak langsung menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kritikan orang ramai yang rata-ratanya beranggapan bahawa perkara tersebut tidak manis terutama bagi kaum Hawa berhijab.
BACA LAGI: 'Sejak bila sekolah ada standard T20, B40, M40?', bapa persoal bayaran majlis graduasi anak darjah 6
Amienah (gambar kecil) memberi penjelasan tentang hukum wanita berhias. — Gambar hiasan/Canva
Mengulas lanjut tentang isu tersebut, Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam Assofa, Amienah Ridzwan tampil memberi penjelasan penuh daripada sudut hukum.
Beliau menegaskan wanita Islam yang disolek atau dihias oleh lelaki bukan mahram adalah haram kecuali dalam keadaan darurat.
Menurutnya, ia boleh membuka ruang fitnah dan merendahkan maruah wanita Islam yang dijulang tinggi oleh Nabi Muhammad SAW.
"Islam membenarkan lelaki melihat wanita ajnabi ketika ingin menjadi saksi, mendapat rawatan, bertujuan pendidikan dan bermuamalat sahaja.
"Selain daripada itu, jika tiada keperluan mendesak haram hukumnya, apatah lagi menatap, membelek dan menghiasnya walau berlapik.
"Jika menghias wajah artis, selebriti serta pengantin, ia bukanlah perkara yang termasuk dalam keperluan mendesak maka, kekal hukumnya haram," katanya kepada Majoriti.
Beliau menjelaskan bahawa batas aurat antara lelaki dan wanita ajnabi juga adalah seluruh tubuhnya selain muka, tapak tangan dan bergantung pada empat sebab yang dinyatakan sahaja.
Katanya, bersolek berlebihan turut dianggap tabarruj dalam Islam dan membawa hukum haram.
"Jika bersolek yang tidak berlebihan ia harus dan dibenarkan oleh syarak namun perlulah dilakukan dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.
"Antaranya adalah tidak berlebihan dalam berhias, tiada persentuhan dengan yang tidak halal dan tidak mengundang atau membuka ruangan fitnah.
"Hakikatnya, wanita adalah golongan yang diciptakan oleh ALLAH dengan kurniaan cantik semula jadi dengan hiasan yang telah dianugerahkan pada ciptaan kejadiannya sendiri.
"Maka, hiasan diharuskan demi memenuhi fitrah wanita yang sukakan kecantikan dan bukanlah untuk menarik perhatian, meraih pujian dan menjadi bualan," jelasnya.
Tambahnya, seiring dengan hadis Nabi, dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.
Maka, jadilah wanita solehah yang akan kekal cantik disisi suami dan keluarga serta diredhai ALLAH dan Rasul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram