
SEMERBAK bau harum ketika kaki melangkah masuk.
Dikelilingi dengan dedaunan hijau, jambangan bunga berwarna-warni sekali gus mewujudkan suasana segar dan tenang.
Terhidu pula aroma kopi yang perlahan-lahan bercampur dengan manis kek beberapa saat melabuhkan diri di dalamnya.
BACA LAGI: Jatuh cinta lepas makan di Malaysia, lelaki Sweden sanggup beli mesin, jual ais kacang bergerak
Ruangan dengan konsep hijau dan warna-warni bunga memberi suasana nyaman kepada pelanggan.
Terletak di tingkat atas sebuah lot kedai di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, The Bunge menggabungkan tiga vendor utama iaitu bunga, pencuci mulut dan minuman di bawah satu bumbung.
Tidak seperti kafe biasa, The Bunge menawarkan pelbagai rangkaian kek, minuman kopi unik serta pilihan bunga serta tanaman hiasan yang pastinya membuatkan anda rambang mata.
The Bunge Florist
Bermula kira-kira dua tahun lalu, Mei 2023, Mohamad Firdaus Zuhari, 35, bersama seorang lagi rakan seperjuangannya mengambil langkah berani untuk menjual bunga di sekitar kaki lima berhampiran LRT Lembah Subang, Petaling Jaya.
Mohamad Firdaus atau lebih senang disapa Louis berkata, sambutan menggalakkan daripada pelanggan membuka peluang untuk terus mengembangkan perniagaannya menjadi kafe.
Sentuhan gubahan bunga oleh Louis yang memikat hati ramai.
"Saya juga ada letak bunga di beberapa kedai lain sekitar sini juga. Hari demi hari permintaan semakin banyak dan saya terfikir untuk ada ruang penyimpanan yang besar.
"Pada awalnya saya hanya fokus pada bunga segar, tetapi bila dah buka kafe saya luaskan pilihan dengan menjual tanaman hiasan, pokok kecil dan sebagainya.
"Di kafe The Bunge, pelanggan juga boleh pilih dan olah sendiri jambangan bunga ikut cita rasa mereka atau hari istimewa," katanya kepada Majoriti.
Membawa konsep yang berbeza dengan kedai bunga lain, Louis mengambil inisiatif untuk menghias kafenya dengan gaya lebih estetik dan kurang feminin.
Sudut tepi tingkap dan keliling dinding dihias dengan elemen kayu, logam serta pokok hiasan dari yang kecil sehingga pasu besar.
Awalnya sekadar dekorasi, namun akhirnya menjadi antara produk The Bunge selepas menerima pelbagai pertanyaan daripada pelanggan.
Antara jambangan bunga yang dijual di The Bunge.
Meskipun pernah diherdik dan dilabel mahal, Louis tidak memandang perkara itu sebagai titik untuk berputus asa.
"Perkara negatif memang sentiasa ada, ketika saya menjual di tepi jalan memang ada juga sesetengah pelanggan yang tidak boleh terima dengan harga bunga kami.
"Sampai ada satu hari ada pelanggan menjerit pada saya 'mana ada orang jual sampai RM7 biasa RM2'.
"Melayan kerenah atau perangai pelanggan juga antara cabaran kami sebab ada yang minta soalan dan bunga pelik-pelik dan tak pernah kami jual.
"Jadi, melihat perniagaan saya bertahan sehingga ke tahap ini cukup menjadi momen paling berharga buat saya," ujarnya.
Memanfaatkan lebihan ruang kedainya, Louis membuat keputusan untuk menambah rangkaian produk dengan mengambil dua vendor utama iaitu Cakeward dan Ginger Bean.
Cakeward
Sama seperti Louis, pengasas jenama Cakeward, Muhammad Firdaus Azmi bersama rakan kongsinya turut memulakan perjalanan bisnesnya di kaki lima.
Aktif menjual 15 jenis kek batik premium di sekitar Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor sejak 2024, produknya kini berkembang maju di The Bunge.
Perjalanan awal Cakeward di kaki lima sekitar Eco Grandeur.
Meskipun jumlah jualan tidak menjadi halangan utama dia berpindah namun, kekangan lokasi dan kos operasi memaksa mereka berundur dan berpindah.
"Jualan di tepi jalan sangat memuaskan dan untungnya juga banyak. Tetapi disebabkan lokasi kami di Puncak Alam tidak dibenarkan ada tapak berniaga jadi saya terpaksa berhenti sekejap.
"Saya dan rakan kongsi terpaksa jual kek secara dalam talian dan buat penghantaran ke seluruh Kuala Lumpur dari rumah iaitu di Puncak Alam.
"Jadi, bila nampak peluang The Bunge mencari vendor, kami sangat teruja untuk buat kolaborasi bersama," katanya.
Tidak dinafikan kos bahan mentah yang semakin tinggi serta kekurangan tenaga kerja sedikit sebanyak menyukarkan operasinya.
Meskipun bimbang kerana terpaksa menaikkan harga dari RM10 ke belasan ringgit, mereka tetap berjaya memikat hati para peminat kek.
Dengan kualiti rasanya yang premium dan saiznya besar, maka tidak hairanlah ia masih diminati.
Namun, lelaki berusia 26 tahun itu mempunyai persediaan dan strategi lain agar perniagaannya tetap berjalan.
Kek yang dijual di The Bunge adalah berbeza setiap hari.
Katanya, disebabkan tempoh menghasilkan 10 hingga 15 kek seharian, Muhammad Firdaus membuat keputusan untuk membahagikan jenis berbeza setiap hari.
"Di sini kami tak jual semua jenis kek, setiap hari akan ada menu berbeza jadi, pelanggan dapat rasa kek yang lain setiap hari.
"Kami juga buka pesanan untuk tempahan majlis seperti kek kahwin, acara korporat termasuk sediakan makanan tengah hari untuk pekerja di pejabat.
"Kami pun ada menerima tempahan kek berskala besar bernilai ribuan ringgit untuk majlis VIP," jelasnya.
Pernah terdetik jauh di lubuk hati untuk bertukar arah ke produk lain ketika perniagaan dilanda ujian, namun berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, Cakeward bertahan sehingga kini.
Ginger Bean
Tidak lengkaplah kafe tanpa minuman yang menyegarkan tekak.
Menjadi mood boster di The Bunge, Ahmad Amin Aleman, 34, muncul dengan idea uniknya iaitu menghasilkan gabungan kopi dan elemen halia.
Stesen Ginger Bean di dalam ruangan The Bunge.
"Kalau di restoran, biasanya kita dengar teh halia, tetapi jarang orang buat kopi halia.
"Sebenarnya, saya memang suka berkeksperimen dengan rasa, jadi awalnya saya hanya cuba gabungkan air berkabonat berperisa halia dengan espresso.
"Daripada situ timbulnya idea untuk jual dengan nama Ginger Bean. Saya mula berniaga sejak April lalu dan sangat baru dalam dunia perniagaan.
"Saya juga mula dengan menjual di pelbagai acara dengan buka gerai mini khususnya sekitar Ampang dan Gombak, Selangor," jelasnya.
Siapa sangka, dari sekecil-kecil langkah, Ahmad kini mampu meluaskan rangkaian produknya di The Bunge.
Terdapat tiga menu utama berasaskan halia yang sentiasa menjadi pilihan penggemarnya.
Antaranya adalah Honey Cloud Ginger, Ginger Spark dan Ginger Milk.
Ketiga-tiganya menggunakan elemen halia tetapi memberi rasa yang berbeza selepas diminum.
Ahmad Amin juga aktif mempromosikan bisnesnya di pelbagai acara luar.
Selain menu berasaskan halia, Ginger Bean turut menawarkan pilihan lain seperti chocolate tiramisu, raspberry white mocha dan rangkaian matcha kreatif.
Malah, mereka turut memperkenalkan menu baharu diberi nama Ketayap Matcha yang diinspirasikan daripada kuih tradisional Malaysia.
Gabungan pelik dan jarang dipasarkan itu secara tidak langsung menjadi satu cabaran buat Ahmad.
"Agak sukar juga untuk perkenalkan produk ini kepada pelanggan sebab ramai yang janggal dengan gabungan ini.
"Kalau tiga hari saya di acara, ambil masa dua hari untuk pelanggan betul-betul yakin beli air kopi halia kami.
"Bila saya bagi rasa, ada yang ragu-ragu, tetapi lepas minum terus diam tak terkata.
"Reaksi keliru mereka sangat menarik untuk saya terus perkenalkan produk ini," katanya.
Menurutnya, serbuk matcha yang berkualiti dan enak juga bukan mudah untuk didapati.
Ada hari Ahmad terpaksa hentikan jualan matcha gara-gara bekalan serbuknya terputus.
Walaupun berbeza produk, matlamat mereka tetap sama iaitu melihat kafe The Bunge terus berkembang maju.
Kata Louis, dengan penambahan aktiviti seperti bengkel bunga dan ruang acara, rezeki tersebut juga dapat dikongsikan dengan setiap vendornya.
Selain Cakeward dan Ginger Bean, Louis turut mengambil beberapa vendor kecil lain untuk menjual produk lain seperti pasu, barang hiasan, biskut, makanan ringan, pencuci mulut dan banyak lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram