Pementasan koleksi terakhir Giorgio Armani bakal jadi tumpuan utama tetamu Minggu Fesyen Milan


  • Gaya
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Koleksi terakhir Giorgio Armani (depan, tengah) akan menjadi sorotan utama Minggu Fesyen Milan sebagai penghormatan kepada legasi pereka legenda itu.

MILAN Fashion Week edisi September 2025 bakal menjadi acara penuh emosi apabila koleksi terakhir rekaan mendiang Giorgio Armani dipersembahkan di pentas peragaan.

Dunia fesyen akan menyaksikan detik bersejarah itu sebagai penghormatan kepada pereka legenda yang meninggal dunia pada 4 September lalu pada usia 91 tahun.

Giorgio Armani bukan sekadar nama besar dalam dunia fesyen, malah dianggap salah seorang pengasas Milan Fashion Week yang menjadikan bandar itu pusat fesyen bertaraf dunia.

BACA LAGI: Myvi lesap lepas pulang 'outstation', rupanya kereta dijual kekasih kepingin pakai beg Chanel

BACA LAGI: [VIDEO] Suami hadiahkan isteri Honda Civic Type R pada hari konvokesyen simbolik usaha, penat lelah

Walaupun suda tiada, namun semangat dan dedikasi beliau terus hidup melalui karya yang ditinggalkan.

Koleksi terakhir itu akan menjadi simbol penutup tirai perjalanan karier beliau penuh kejayaan.

Acara itu dijangka menarik perhatian ramai ikon fesyen, pereka terkenal dan peminat setia dari seluruh dunia yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada maestro itu.

Selain peragaan koleksi, sambutan ulang tahun ke-50 jenama Giorgio Armani dan pameran khas di Pinacoteca di Brera bakal mengimbau perjalanan separuh abad karya seni fesyen yang menjadi warisan dunia.

Kumpulan fesyen Giorgio Armani mengesahkan bahawa persembahan koleksi Emporio Armani dan Giorgio Armani bagi Musim Bunga/Panas 2026 akan diteruskan seperti dijadualkan.

"Kami berazam untuk meneruskan legasi komitmen, rasa hormat dan dedikasi terhadap kerja yang telah ditanam oleh Giorgio Armani sehingga ke akhir hayatnya."

Mendiang bekerja sehingga ke saat akhir untuk menyiapkan koleksi itu dan juga pameran ulang tahun ke-50 rumah fesyennya.

Pameran tersebut akan memaparkan 150 rekaan arkib yang dipamerkan bersama karya seni agung dan bakal dibuka pada 24 September di Muzium Pinacoteca di Brera, Milan.

Persembahan koleksi Emporio Armani akan berlangsung pada 25 September, manakala koleksi Giorgio Armani akan menutup Milan Fashion Week pada 28 September.

Ia menjadikannya momen paling dinantikan kerana bukan sahaja mempamerkan koleksi baharu, tetapi simbol perpisahan dengan pengasas disegani.

Milan Fashion Week kali ini akan menampilkan 171 acara termasuk 54 pertunjukan fesyen fizikal, empat pertunjukan digital, 78 persembahan koleksi, tujuh persembahan secara langsung dan 30 acara sampingan.

Selain memberi penghormatan kepada Giorgio Armani, minggu fesyen itu turut meraikan ulang tahun penting beberapa jenama lain termasuk ulang tahun ke-60 Laura Biagiotti dan ulang tahun ke-10 La DoubleJ serta Flower Mountain.

Acara itu juga menjadi pentas debut beberapa pengarah kreatif baharu seperti Louis Trotter dari Bottega Veneta, Simone Bellotti untuk Jil Sander dan Dario Vitale hadir bagi Versace.

Gucci pula bakal mempersembahkan koleksi pertama yang direka oleh pengarah artistik baharu, Demna.

Ramai tokoh terkemuka dalam dunia fesyen, hiburan dan selebriti antarabangsa dijangka hadir di Milan untuk memberi penghormatan kepada Giorgio Armani.

Donatella Versace, yang selama ini berkongsi lanskap fesyen dengan Armani, sering dipetik sebagai salah seorang yang paling hampir dengan legasi beliau.

Kehadiran Julia Roberts, Samuel L. Jackson, Victoria Beckham, Sydney Sweeney dan Demi Moore juga menjadi tumpuan ramai kerana mereka bukan sahaja penghormatan di media sosial, tetapi berkemungkinan hadir secara peribadi ke acara, kerana hubungan profesional atau kekaguman terhadap karya Armani.

Kehadiran mereka akan menambah nilai sentimental kepada minggu fesyen itu bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai saksi kepada satu era fesyen yang bakal ditutup secara rasmi. Mereka bukan sahaja mengagumi Giorgio Armani sebagai pereka fesyen, tetapi menghormati beliau sebagai ikon budaya, sahabat dan rakan kerjasama dalam industri.

Selain itu, antara acara lain yang dinanti-nantikan termasuk Anugerah Maestri D’eccellenza, yang meraikan bakat artisan Itali paling berprestij, serta Black Carpet Awards yang mengangkat tema keterangkuman, kreativiti dan budaya.

Milan Fashion Week turut memperkenalkan projek Beyond The Visible yang mempromosikan fesyen bertanggungjawab dengan paparan pasport digital bagi setiap pakaian.

Turut mencuri tumpuan ialah penyertaan jenama antarabangsa yang menggabungkan pakaian terpakai (pre-loved) ke dalam pertunjukan fesyen, termasuk Moschino, Francesco Murano dan Institution by Galib Gassanoff.

Ia menjadikan fesyen kitar semula sebahagian daripada naratif utama minggu fesyen kali ini.

Keseluruhannya, Milan Fashion Week tahun ini bukan sekadar mempersembahkan koleksi baharu tetapi menjadi penghormatan penuh makna kepada Giorgio Armani, sekali gus mengekalkan warisan beliau sebagai salah satu pereka paling berpengaruh dalam sejarah fesyen dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram