
SEMANGAT dan minat yang mendalam terhadap sukan sering menjadi pemangkin kepada usaha luar biasa.
Apabila hobi bertukar menjadi satu misi, ia bukan sahaja mengubah individu yang terlibat, malah mampu memberi impak besar kepada komuniti sekeliling.
Begitulah perkongsian inspirasi pasangan suami isteri yang menjadikan sukan hoki sebagai medan 'perjuangan' mereka.
BACA LAGI: Myvi lesap lepas pulang 'outstation', rupanya kereta dijual kekasih kepingin pakai beg Chanel
BACA LAGI: [VIDEO] Suami hadiahkan isteri Honda Civic Type R pada hari konvokesyen simbolik usaha, penat lelah
Perjalanan itu bermula daripada minat seorang suami terhadap sukan hoki sejak zaman sekolah, yang kini berkembang menjadi sebuah kelab hoki untuk kanak-kanak.
Pasangan itu bukan sekadar menanam cita-cita, malah berganding bahu untuk merealisasikan impian tersebut.
Dari memilih nama kelab, mencipta logo, sehinggalah mereka bentuk jersi pemain, setiap langkah dilakukan bersama-sama.
Lebih istimewa, usaha itu turut mendapat sambutan daripada ibu bapa yang sanggup berkorban masa selepas seharian bekerja untuk membawa anak-anak berlatih.
Kelab itu kini menjadi tempat melatih bakat muda dari pelbagai daerah, membuktikan bahawa sokongan keluarga dan komuniti adalah nadi kejayaan.
Ladynoe Mohamed berkongsi bahawa suaminya sudah lama aktif dalam bidang hoki, bermula sebagai jurulatih hoki di sekolah.
Minat itu semakin mendalam sehingga membawa kepada penubuhan sebuah kelab hoki khas untuk kanak-kanak, dikenali sebagai Anak Rimau Hockey Club.
Menurut Ladynoe, peringkat awal penubuhan kelab itu dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan keraguan.
"Suami saya pernah bimbang kalau tiada kanak-kanak yang datang untuk menyertai kelab ini. Pada mulanya hanya sekitar 10 orang yang hadir. Tetapi kini, melihat bilangan pemain yang semakin bertambah, hati saya sangat terharu," kongsinya di Threads.
Lebih menggembirakan, ada peserta yang datang dari jauh seperti Taiping dan Kuantan semata-mata untuk menjalani sesi latihan bersama kelab tersebut.
Latihan dijalankan tiga kali seminggu, bermula pukul 8 hingga 10 malam.
Walaupun penat bekerja pada siang hari, suaminya tetap bersemangat melatih pemain kerana itu adalah impiannya sejak dahulu.
Ladynoe sendiri memainkan peranan penting di belakang tabir, termasuk mereka bentuk logo kelab dan jersi pasukan.
Katanya, kelab itu bukan sahaja menjadi platform untuk melatih bakat muda, tetapi ruang untuk suaminya meluahkan cabaran dan masalah berkaitan pengurusan kelab.
"Apa yang paling membuatkan saya kagum adalah ibu bapa yang sanggup meluangkan masa pada waktu malam demi melihat kemahiran anak-anak mereka berkembang.
"Mereka datang dengan semangat yang luar biasa. Saya rasa penghargaan paling besar harus diberikan kepada mereka kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini," tambah Ladynoe.
Beliau turut mendoakan agar usaha suaminya diberkati dan Kelab Hoki Anak Rimau terus dikenali, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di persada dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram