
SEORANG bapa meluahkan rasa kesal apabila pihak sekolah anaknya seolah-olah memaksa murid dengan mengenakan bayaran bagi melaksanakan majlis graduasi.
Menerusi video dimuat naik di akaun TikToknya @capt.raeiz.hamed baru-baru ini, setiap murid diarahkan untuk membayar sebanyak RM130 untuk menyertai Majlis Graduasi Tahun Enam.
Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan melalui surat rasmi yang diberikan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa.
BACA LAGI: Tak sampai 30 saat, ibu anak 2 pecah rekod dunia lari 'berkaki ayam' 100 meter atas trek mainan Lego
"Dalam surat juga ada dimalumkan sewaan baju jubah RM20, gambar individu RM25, hadiah cendera hati RM25, jamuan makan RM50, fail RM10 dan kesemuanya RM150.
"Manakala, bayaran bagi ibu bapa atau ahli keluarga yang ingin menyertai adalah RM50.
"Apakah ini daripada pihak sekolah sendiri atau Kementerian Pendidikan (KPM)?" soalnya.
Pemilik akaun tersebut turut mempersoalkan kewajaran menganjurkan majlis graduasi bagi murid sekolah rendah yang baru menamatkan sesi Tahun Enam.
Dia pada masa sama membandingkan majlis pada zamannya yang dilakukan secara sederhana tanpa mengenakan bayaran setinggi itu.
"Saya tahu perkara ini adalah pilihan bukan satu kewajipan, tetapi sejak bila di sekolah ada standard untuk kayangan T20, B40, M40.
"Maknanya, kalau ibu bapa belajar yang tak menyertai itu dikira orang tak berkemampuanlah?.
"Zaman saya dahulu kalau jamuan akhir tahun ini biasanya buat di dalam kelas, cikgu akan susun masing-masing bawa makanan dari rumah.
"Jadi, kalau yang tak mampu masih boleh datang menikmati apa sahaja makanan yang dibawa," luahnya.
Katanya lagi, majlis graduasi tidak semestinya dilakukan di sekolah disebabkan peringkatnya yang berbeza dengan universiti.
Ditambah pula dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia memohon agar perkara tersebut dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci agar tidak menimbulkan kebimbangan orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram