
DALAM dunia dakwah, umum mungkin mengenali insan yang bernama Datuk Dr Farid Ravi Abdullah yang kini turut memegang jawatan Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS).
Dia juga dikenali sebagai ahli akademik dan kini giliran anak gadisnya pula meneruskan legasi, cuma dalam bidang yang berbeza iaitu perakaunan.
Kejayaan anak sulungnya, Asma’ Nabilah Mohd Ravi bergelar graduan Sarjana Muda Perakaunan Profesional di UiTM Shah Alam pasti menimbulkan rasa bangga buat bapanya serta Asma’ sendiri.
BACA LAGI: Lebih 3 dekad berkhidmat dalam sektor awam, Zainani Jusoh dilantik Akauntan Negara baharu
Dr Farid (tengah) kini menjadi ibu dan bapa buat anak-anaknya selepas pemergian isteri tercinta. — Facebook/Farid Ravi
Tetapi, siapa sangka, perjalanan menuju kejayaan bukanlah semudah yang disangka apabila Asma’ kehilangan ibu tercinta ketika dalam pengajian dan buat Dr Farid pula, dia kehilangan isteri tercinta yang sama-sama membesarkan anak-anak sebelum ini.
“Sewaktu 10 hari sebelum peperiksaan akhir dan ketika itu ibu saya sudah meninggal, saya tidak berkesempatan untuk mengulang kaji namun Alhamdulillah saya lulus.
"Mak antara punca saya masih kuat belajar akaun. Lepas mak tiada, saya tahu adik-adik tengok saya sebagai contoh, jadi saya kena terus kuat,” luah Asma.
Arwah ibunya sempat menitipkan pesan terakhir agar Asma' yang berusia 28 tahun menjadi teladan buat adik-adiknya, bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga dalam memikul tanggungjawab sebagai anak sulung dengan ia kini menjadi azimat yang sentiasa mengiringi langkahnya.
Asma' membesar dalam keluarga besar enam beradik di mana dua orang adiknya kini turut menuntut di universiti — seorang dalam jurusan TESL di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang lagi dalam bidang Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) manakala tiga yang lain masih bersekolah.
Asma' kini mengambil tugas menguruskan rumah sambil menunggu peluang pekerjaan. — Facebook/Farid Ravi
Sejak ketiadaan ibu, ayahnya jugalah yang memainkan peranan sebagai ibu dan bapa buat mereka semua sekali pun sibuk dengan tugasan harian di UIS dan memenuhi undangan berceramah.
“Ayah dulu sibuk kerja, tapi selepas mak tiada, dia lebih banyak bersama kami. Ayah luangkan masa untuk kami semua,” kata Asma, menghargai peranan besar bapanya.
Meskipun bapanya dikenali sebagai seorang agamawan dan sarjana dalam bidang pengajian Islam, Asma' memilih untuk mengikut haluan sendiri dalam bidang perakaunan.
“Ayah tak pernah paksa saya ikut jejaknya. Semasa sekolah, saya tahu saya tak minat sains, jadi saya ambil akaun. Sejak itu, saya jatuh cinta dengan subjek ini sebab cikgu pun baik dan penyayang,” katanya sambil tersenyum.
Bagi Asma', falsafah hidupnya mudah — go with the flow. Katanya, manusia hanya mampu merancang, tetapi ketentuan akhir adalah milik ALLAH.
Dr Farid masih mengharapkan legasinya dalam pengajian Islam dapat diteruskan anak-anaknya. — Facebook/Farid Ravi
Kini, selepas bergelar graduan, dia sedang membantu keluarga di rumah sambil mencari peluang kerjaya, khususnya dalam bidang perbankan.
"Semoga saya jadi akauntan bertauliah dalam tiga ke lima tahun lagi. Untuk rakan-rakan ACCA, teruskan semangat. Terima kasih juga pada keluarga yang berkorban, dan saya sendiri harap terus kuat,” luah Asma.
Bagi bapanya, walaupun menghormati pilihan anak-anak dalam menentukan masa depan, dia menitip harapan agar ada di antara mereka yang akan meneruskan legasinya sebagai sarjana Islam.
“Secara peribadi, memang saya mengharapkan ada anak-anak yang akan menjaga kesinambungan legasi sebagai ahli pengajian Islam. Harapan saya untuk semua anak-anak adalah berjaya, berguna untuk negara, dan membina keluarga yang mempunyai visi serta misi yang jelas,” ujarnya.
Tidak dinafikan bahawa peranan anak sulung terpalit rapat dengan dirinya, di samping menjaga kualiti akademik dan kerjaya, dia juga memberi sepenuhnya perhatian dalam perihal keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram