Ketahui kesannya bila anak berasa dipinggirkan, implikasi akibat ibu bapa pilih kasih


  • Cinta
  • Selasa, 02 Sep 2025

Kasih sayang ibu adalah dunia buat seorang anak kecil. — Gambar Hiasan

“MAK lebih sayang abang daripada saya!" ayat sebegini mungkin kedengaran remeh, tetapi kesannya boleh menikam hati seorang anak. 

Walaupun kebanyakan ibu bapa menyatakan bahawa mereka menyayangi semua anak sama rata, hakikatnya hubungan emosi dengan setiap anak tidak pernah seratus peratus sama.

Satu tinjauan oleh institut kajian Jerman, Appinio mendapati 18 peratus responden mengakui mereka mempunyai anak kesayangan. 

Angka ini mungkin kelihatan kecil, namun cukup membuktikan bahawa fenomena tersebut memang wujud dalam banyak keluarga.

Setiap anak tetap merasakan bahawa kasih sayang ibu bapa tidak pernah berkurang. 

Mengapa wujud anak kesayangan?

Menurut pakar psikologi klinikal dari Universiti Sains Gunaan Frankfurt, Profesor Susanne Doll-Hentschker, kecenderungan ini bermula sejak awal kelahiran.

“Selepas seorang bayi lahir, ibu bapa biasanya mencari persamaan dengan diri mereka. Jika mereka nampak ciri yang sama dengan diri pada anak, secara tidak sedar layanan juga jadi berbeza,” katanya.

Selain itu, personaliti dan peranan dalam keluarga turut mempengaruhi. 

Ada anak yang tenang dan mudah diurus, ada pula yang lebih mencabar kesabaran. 

Secara semula jadi, ibu bapa lebih rapat dengan anak yang mudah dikawal.

“Contohnya, jika seorang anak kerap enggan menyiapkan kerja sekolah, ibu bapa mungkin berasa malas untuk melayan. Itu normal.

"Yang penting, ibu bapa sedar bahawa merekalah yang bertanggungjawab memastikan hubungan kekal harmoni,” kata Pengarah Institut Negeri Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IFP) di Amberg, Dr. Fabienne Becker-Stoll.

Bila kasih sayang jadi tidak seimbang

Sebenarnya, layanan yang berbeza tidak semestinya membawa masalah kerana setiap anak mempunyai keperluan tersendiri.

Apa yang lebih penting adalah setiap anak tetap merasakan bahawa kasih sayang ibu bapa tidak pernah berkurang.

Namun, jika jurang layanan terlalu jelas, kesannya boleh mencalar harga diri anak yang terpinggir. 

“Jika seorang anak berasa sentiasa diketepikan, dia boleh membesar dengan imej diri yang lemah serta penuh rasa tidak dihargai,” kata Profesor Anja Lepach-Engelhardt dari Universiti Swasta Sains Gunaan Göttingen.

Menariknya, menjadi anak kesayangan juga tidak semestinya membawa kelebihan. 

Ramai antara mereka dibebankan dengan tanggungjawab yang lebih besar, khususnya dalam menjaga ibu bapa. 

Tekanan ini akhirnya boleh menjejaskan perkembangan mereka.

Anak sulung biasanya menerima perhatian penuh kerana menjadi pengalaman pertama ibu bapa. 

Sulung, Tengah atau Bongsu?

Kedudukan dalam susunan kelahiran juga memberi pengaruh besar, kerana pengalaman ibu bapa terhadap anak pertama, tengah atau bongsu sering berbeza dan mencorakkan cara layanan mereka.

Anak sulung biasanya menerima perhatian penuh kerana menjadi pengalaman pertama ibu bapa, namun dalam masa sama sering dipertanggungjawabkan menjaga adik-adik. 

Anak bongsu pula lebih cenderung dimanjakan, sementara anak tengah kadangkala berasa terhimpit dan kurang menonjol.

Kajian meta-analisis oleh Persatuan Psikologi Amerika mendapati faktor jantina dan sifat peribadi turut memberi kesan. 

Ibu bapa dilihat lebih cenderung melayan anak perempuan, serta anak yang rajin dan menurut kata.

Apa yang boleh ibu bapa lakukan?

Hakikatnya, kebanyakan ibu bapa tidak sedar mereka bersikap pilih kasih.

Layanan sebegini sering berlaku tanpa niat, misalnya melalui lebih banyak pujian, lebih sabar dengan seorang anak, atau lebih cepat memaafkan kesilapan tertentu.

Menurut Lepach-Engelhardt, cara terbaik adalah berani bermuhasabah.

“Tanya diri sendiri... adakah saya lebih banyak meluangkan masa dengan seorang anak berbanding yang lain? Adakah saya lebih cepat marah kepada anak tertentu? Dan mengapa?” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa layanan adil tidak bermaksud semuanya sama rata. Yang lebih penting ialah berlaku saksama, iaitu memberi perhatian mengikut keperluan dan keadaan setiap anak.

Luka yang masih boleh sembuh

Tidak dinafikan, pilih kasih boleh merosakkan hubungan adik-beradik yang menimbulkan cemburu, iri hati, malah perbalahan yang berpanjangan hingga dewasa. Namun, luka ini masih boleh dirawat.

“Jika ibu bapa berani mengakui kesakitan yang dialami seorang anak kerana berasa dipinggirkan, ia sudah menjadi langkah pertama untuk penyembuhan,” kata Becker-Stoll.

Akhirnya, kasih sayang tanpa syarat adalah kunci utama. Melihat setiap anak sebagai individu yang berbeza dan menghargai keunikannya adalah kunci. 

Ibu bapa perlu sentiasa bertanya pada diri sendiri apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki hubungan kerana di situlah bezanya antara sekadar membesarkan anak dengan benar-benar mendidik mereka dengan kasih sayang.  — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram