
ISU kematian ibu ketika hamil atau semasa melahirkan bukanlah sesuatu yang asing.
Malah, dalam Islam sendiri ia dianggap sebagai satu pengorbanan besar dengan ganjaran yang tinggi.
Bagaimanapun, Pakar Kesihatan Dalaman Wanita, Dr. Raihana Ismail menjelaskan, kematian ibu hamil atau bersalin bukan hanya berkaitan soal ajal semata-mata, sebaliknya turut didorong komplikasi perubatan yang menjadi faktor utama.
“Benar bahawa ajal itu pasti, tetapi dari sudut perubatan, banyak kes berlaku kerana komplikasi yang boleh dikesan dan dirawat lebih awal,” jelasnya.
Antara punca paling kerap dilaporkan adalah tekanan darah tinggi semasa kehamilan (preeclampsia dan eclampsia).
Dr. Raihana berkata, keadaan ini boleh merosakkan organ penting seperti buah pinggang, hati dan otak, selain mencetuskan sawan yang amat berbahaya kepada ibu dan bayi.
Selain itu, pendarahan berlebihan selepas bersalin (postpartum hemorrhage) turut dikenal pasti sebagai salah satu faktor utama kematian ibu.
Kehilangan darah dalam jumlah yang besar dalam tempoh singkat boleh membawa kepada kejutan dan kematian sekiranya tidak ditangani segera.
Jangkitan kuman (sepsis) selepas bersalin juga merupakan komplikasi berbahaya apabila bakteria merebak melalui rahim atau luka, sekali gus menyebabkan kegagalan organ dan keadaan kritikal kepada pesakit.
Menurut Dr. Raihana, ibu yang mengalami anemia teruk turut berada dalam kategori berisiko tinggi kerana tahap hemoglobin (Hb) yang rendah tidak mampu menampung kehilangan darah ketika proses kelahiran.
“Selain itu, terdapat juga kes melibatkan darah beku (pulmonary embolism), komplikasi ketika pembedahan caesarean, serta masalah jantung sedia ada yang boleh menjadi punca kematian ibu,” katanya.
Beliau menasihatkan semua wanita hamil supaya memberi perhatian penuh terhadap pemeriksaan berkala.
“Pantau tekanan darah, lakukan ujian darah, ambil suplemen apabila perlu dan segera berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala luar biasa seperti sakit kepala teruk, bengkak melampau, penglihatan kabur atau pendarahan,” katanya.
Kenyataan Dr. Raihana itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman masing-masing.
Seorang pengguna, Uncledz Dzull mendedahkan bahawa isterinya juga salah seorang yang meninggal dunia selepas melahirkan anak pramatang.
“Alhamdulillah, anak saya tidak pernah lupa menziarahi pusara ibunya setiap Jumaat sejak 28 tahun lalu,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Ainpiqa berkongsi detik cemas ketika diserang sepsis dua minggu selepas bersalin.
“Saya tiba-tiba menggigil, jantung berdegup laju dan sukar bernafas. Ketika doktor datang, saya hanya sedar sekejap-sekejap.
"Selepas pulih, barulah saya tahu suami sudah menandatangani surat untuk prosedur intubasi. Saat itu saya sangka hayat saya sudah berakhir,” katanya yang kini menanti kelahiran anak kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram