[VIDEO] Kena bayar RM10 sekepala ngam-ngam keluar bot sejak 2023 punca bergaduh depan pelancong di Sabah


  • Kes
  • Khamis, 04 Sep 2025

Tangkap layar sekumpulan lelaki bergaduh di Pulau Timba-Timba dekat Semporna, Sabah pada Rabu.

PERGADUHAN di Pulau Timba-Timba dekat Semporna, Sabah pada Rabu dipercayai berpunca daripada isu isu bayaran mendarat (landing fee) antara pemandu pelancong dan penduduk tempatan.

Malah, kejadian itu turut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sehingga tular di laman media sosial pada hari yang sama.

Susulan kejadian itu, seorang pengguna Facebook, Kibron Laniaj, menggesa pihak berkuasa campur tangan untuk mencari penyelesaian, termasuk mencadangkan penutupan sementara pulau itu kepada orang awam sehingga status hak milik diputuskan.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Ingatkan sampah, rupanya dadah', pekerja terkejut jumpa bungkusan ganja mampat di Kuala Sungai Padang

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Jalan rezeki yang ALLAH tentukan’, hikmah berhenti kerja, ibu muda cekal ambil upah lipat baju semurah RM10 sebakul sambil jaga anak

“Bayaran RM10 seorang ini sudah menimbulkan pelbagai isu. Dulu sebelum tahun 2023, sesiapa sahaja boleh datang ke pulau ini secara percuma, tidak ada pergaduhan atau laporan polis,” tulisnya.

Sementara itu,Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Rabu itu berlaku ketika seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga pengurus sebuah syarikat pelancongan mendakwa diserang beberapa individu ketika membawa sekumpulan pelancong ke pulau berkenaan.

"Mangsa yang tampil membuat laporan polis pukul 7.56 malam Rabu mendakwa didatangi sekumpulan individu yang menuntut bayaran tambahan 'landing fee' meskipun syarikatnya sudah membuat pembayaran kepada pihak lain sebelum itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pertelingkahan itu akhirnya membawa kepada insiden perang mulut dalam kalangan beberapa lagi individu di situ sebelum bertukar kepada aksi pergaduhan.

"Hasil siasatan polis mendapati insiden berkenaan berpunca daripada wujud lebih daripada satu pihak yang mengutip bayaran mendarat di pulau terbabit.

Setakat ini tiga suspek lelaki berusia antara 25 hingga 27 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram