
SENI hiasan rumah tidak pernah lekang daripada perhatian, malah trend masa kini semakin menonjolkan kreativiti yang menggabungkan elemen tradisi dan kontemporari.
Antara yang mencuri tumpuan ialah makrame, iaitu seni simpulan tali kapas yang bukan sahaja berfungsi sebagai dekorasi dinding, tetapi juga sebagai pelengkap pelbagai barangan rumah.
Seni makrame mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang, tetapi bagi Sinthana Velayutham, 57, ia bukan sekadar hobi malah sudah menjadi medium seni yang mampu menyerikan ruang kediaman dengan sentuhan unik.
Pengasas Macramehugger ini melihat potensi besar makrame sebagai dekorasi dinding, hiasan pasu, sehinggalah ke produk rumah lain yang semakin digemari.
Koleksi hasil tangan Sinthana yang menghiasi ruang tamu dengan nuansa hangat.
Hanya dengan tiga simpul utama iaitu square knot, spiral knot dan gathering knot, beliau menghasilkan gantungan pasu bunga pertamanya.
Dari situ, kreativiti Sinthana berkembang kepada table runner, table mat dan pelbagai aksesori rumah lain.
"Pada mulanya saya hanya buat sebagai hobi untuk kegunaan sendiri. Tapi lama kelamaan, saya meneruskan minat saya dan menerokai teknik-teknik baru yang diserapkan ke dalam makrame.
"Dari makrame, saya belajar pula gabungan makrame dengan tenunan yang dikenali sebagai macraweave, dan dari sini saya pelajari teknik gubahan artyarn dari 'scratch' untuk elemen tambahan dalam macraweave," katanya kepada Majoriti.
Idea untuk kembali menghasilkan makrame muncul pada 2017 apabila Sinthana mula belajar semula teknik simpul asas melalui YouTube.
Keunikan dan kelebihan makrame sebagai dekorasi
Menurut Sinthana, kelebihan makrame terletak pada kesederhanaan bahan yang digunakan.
Bahan yang digunakan hanyalah tali kapas dan beberapa simpulan mudah.
Hasilnya boleh memberi sentuhan vintage, kontemporari dan bohemian yang jarang ditemui di Malaysia.
"Makrame tidak begitu banyak dihasilkan oleh penggiat seni tempatan, jadi setiap rekaan yang ada lebih eksklusif.
"Ia memberikan vibe berbeza sama ada bohemian ataupun kontemporari, bergantung pada ruang dan citarasa pemilik rumah," katanya.
Rekaan makrame untuk hiasan dinding.
Dari 'backdrop' perkahwinan ke dekorasi moden
Produk makrame mendapat permintaan tinggi terutama untuk acara istimewa.
Latar belakang pelamin atau 'wedding backdrop' menjadi antara pilihan kegemaran pelanggan, selain gantungan pasu bunga.
Bagi Sinthana, setiap pesanan mempunyai cabaran tersendiri kerana perlu menyesuaikan rekaan dengan keperluan pelanggan.
"Kadang-kadang pelanggan beri konsep, jadi saya perlu fikirkan sama ada ia boleh direalisasikan dengan bahan yang ada, kerumitan simpulan dan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Itulah cabarannya, untuk mengekalkan keaslian rekaan sambil memenuhi permintaan,” jelas beliau.
Gabungan makrame dan tenunan menghasilkan karya unik macraweave.
Walaupun seni macrame masih dianggap 'niche' di Malaysia, Sinthana percaya ia berpotensi berkembang lebih jauh, terutama dengan kemunculan rekaan 3D seperti batu karang, haiwan serta aplikasi pada produk moden seperti 'lamp shade', bakul dan sebagainya.
"Harapan saya adalah menghasilkan karya yang lebih besar, lebih 'out of the box' dan bekerjasama dengan korporat serta peruncit untuk tujuan branding dan pemasaran.
Saya mahu seni ini terus berkembang, bukan sahaja dalam kalangan penggiat seni tetapi juga di ruang-ruang rumah rakyat Malaysia," ujarnya.
Bagi mereka yang ingin mencuba, Sinthana menggalakkan untuk bermula dengan projek mudah seperti gantungan pasu atau placemat.
"Hanya tiga simpul asas sudah cukup untuk menghasilkan pelbagai rekaan menarik," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram