
SEMAKIN ramai lelaki muda kini mula melihat kediaman sebagai refleksi gaya hidup dan identiti peribadi.
Jika dahulu tembikar dianggap sekadar barangan dapur atau koleksi tradisional, kini ia tampil sebagai aksesori dekorasi mewah yang mampu menyerlahkan cita rasa pemilik rumah.
Pasu tanah liat, mangkuk artisan dan cawan buatan tangan bukan sahaja menghiasi meja makan, malah turut dipamerkan di rak buku, kabinet perhiasan dan ruang tamu sebagai simbol gaya maskulin moden.
BACA LAGI: [VIDEO] Seni bina masjid brutalis jadi lambang cahaya, spiritualiti di India
Pemilik butik fesyen lelaki di Amerika Syarikat (AS) mengakui berlaku peningkatan mendadak dalam jualan tembikar, malah ada yang mula mempamerkan pasu dan mangkuk artisan di sebelah barangan seperti dompet atau tali pinggang.
Hal itu menunjukkan bahawa hiasan rumah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup lelaki moden.
Ia seiring dengan pakaian linen buatan tangan atau kasut kulit eksklusif.
Menurut mereka, minat itu lahir daripada perubahan norma 'gender' yang semakin terbuka kepada lelaki untuk menghargai seni dekorasi dan menyusun ruang peribadi.
Kediaman bukan lagi dilihat sekadar ruang praktikal, tetapi juga cerminan identiti diri.
Gerrits menikmati kopi menggunakan cawan sebahagian daripada koleksi tembikar dan seramik di rumahnya.
Landon Gerrits, seorang pereka produk di San Francisco, AS, mula mengumpul tembikar sejak usia awal 20-an.
Baginya, seni tanah liat itu bukan sahaja mempunyai keindahan estetik tetapi juga ketahanan untuk kegunaan harian.
"Ia sebuah seni yang punya fungsi dan keindahan," katanya.
Begitu juga dengan Travis Burnham, seorang pereka kedai di New York, yang mengakui membeli tembikar buatan tangan bernilai lebih RM1,600 sebiji untuk kegunaan peribadi dan dekorasi ruang rekaan pelanggan.
"Lelaki semakin terbuka untuk menikmati sesuatu yang estetik," jelasnya.
Kinori memegang sebuah cawan hasil buatan Jordan Vouga dari Los Angeles.
Beberapa butik fesyen lelaki terkenal seperti Canoe Club di Colorado dan Kith di New York kini turut menjual pasu artisan bernilai ribuan ringgit.
Menurut pemilik Canoe Club, Timothy Grindle, jualan tembikar di butiknya melonjak sehingga 75 peratus tahun ini.
Bagi pereka fesyen Evan Kinori pula, pakaian hanyalah pintu masuk lelaki untuk mula menitikberatkan soal hiasan dalaman.
"Lambat laun mereka akan mula memikirkan tentang barang lain yang mencerminkan cita rasa, termasuk hiasan rumah," katanya.
Di butiknya, koleksi tembikar bercirikan wabi-sabi Jepun dengan tekstur alam dan warna bumi dipadankan bersama rekaan pakaian minimalis.
Ia membuktikan kesinambungan gaya boleh diterjemahkan dari tubuh ke ruang kediaman.
Kinori di kedainya yang menjual tembikar artisan buatan Jerman dan New Mexico.
Fenomena itu tidak terbatas di bandar besar sahaja.
Pemilik galeri seni dan kedai barangan rumah di seluruh Amerika melaporkan peningkatan pembelian tembikar dalam kalangan lelaki muda dan golongan berusia.
Menurut James Harris, pengacara podcast fesyen Throwing Fits, kecenderungan itu semakin ketara sejak pandemik.
"Rumah kini menjadi latar untuk kehidupan harian dan media sosial. Ruang kediaman turut dinilai, dan ia tidak lagi dianggap ruang feminin semata-mata," jelasnya.
Bagi pembeli seperti Ben Reese di Georgia, koleksi tembikar menjadi sebahagian gaya hidup baharu.
Malah, beliau mula menghadiahkan pasu kecil kepada rakan-rakan lelakinya dan mendapati minat terhadap dekorasi rumah semakin menular dalam kalangan mereka.
Pilihan tembikar Kinori sering habis terjual di laman webnya.
Alex Applegate, seorang penulis di San Francisco, menganggap koleksi tembikarnya sebagai cara menolak tradisi lama peralatan rumah mass-produce yang membosankan.
Walaupun pernah memecahkan beberapa koleksi, baginya tembikar tetap memberi nilai estetik tersendiri.
"Ia sebuah romantisisme kecil yang menjadikan hidup lebih indah," katanya.
Kebangkitan minat lelaki terhadap tembikar menunjukkan perubahan besar dalam cara mereka menilai kediaman.
Tidak lagi hanya ruang fungsional, rumah kini menjadi kanvas untuk mengekspresikan gaya hidup dan identiti.
Tembikar, dengan kehalusan buatan tangan dan sentuhan seni, menjadi simbol baharu keanggunan maskulin yang sederhana tetapi penuh jiwa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram