SME Corp. Malaysia, microLEAP tawar pembiayaan geran 'convertible' bernilai RM35 juta untuk PMKS


  • Bisnes
  • Selasa, 09 Sep 2025

Menurut Tunku Danny Nasaifuddin (gambar kecil) kerjasama itu terhasil daripada keperluan sebenar pemilik perniagaan kecil.

USAHA memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus dipertingkat apabila SME Corp. Malaysia menjalin kerjasama dengan platform pembiayaan patuh Syariah, microLEAP, bagi menawarkan skim pembiayaan baharu bernilai RM35 juta di bawah Program Pembiayaan Alternatif BAP 2025.

Skim itu membolehkan PMKS yang layak mendapatkan pembiayaan berlandaskan Syariah sehingga RM400,000 pada kadar keuntungan kompetitif 3.5 peratus setahun. 

Lebih menarik, sehingga 40 peratus daripada jumlah pembiayaan itu boleh ditukar kepada geran, tertakluk kepada rekod pembayaran balik yang baik serta kelulusan SME Corp. Malaysia.

BACA LAGI: Stadium kayu pertama Jepun simbol kebangkitan komuniti, bumbung inspirasi rumah tradisional Ouchi-juku

BACA LAGI: Mangkuk, cawan tanah liat artisan pelengkap dekorasi kediaman lelaki moden, bukan sekadar perkakas di rak dapur

Kerjasama dengan microLEAP, platform pembiayaan P2P (Peer-to-Peer) yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, menambah jumlah keseluruhan dana yang telah diperuntukkan sejak 2021 kepada RM70 juta. 

Ia sekali gus memperkukuh misi bersama kedua-dua pihak dalam menyediakan pilihan alternatif pembiayaan kepada PMKS, khususnya yang sukar mendapat akses daripada institusi kewangan tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy, berkata, inisiatif itu membuktikan pendekatan baharu dalam membantu PMKS.

"Program ini melangkaui pinjaman tradisional. Dengan penukaran sehingga 40 peratus kepada geran, ia bukan sahaja mengurangkan beban bayaran balik tetapi juga pelaburan langsung terhadap masa depan PMKS yang berpotensi tinggi. 

"Sasaran kami ialah meningkatkan bilangan perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6 peratus kini kepada 5 peratus menjelang 2030," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, menegaskan kerjasama itu terhasil daripada keperluan sebenar pemilik perniagaan kecil.

"Pembiayaan seharusnya bukan sahaja mudah diakses dan mampu milik, malah perlu memberi ganjaran kepada disiplin kewangan yang baik. 

"Kami percaya PMKS tidak perlu mengemukakan tiga tahun akaun beraudit atau cagaran untuk mendapatkan pembiayaan. Jika mereka menjana hasil, berkembang dan mampu membayar balik, kami akan menyokong mereka," ujarnya.

Melalui skim itu, PMKS boleh memanfaatkan dana untuk modal kerja serta pelbagai penambahbaikan perniagaan termasuk pembelian mesin dan peralatan, penerapan ESG, pensijilan produk, pengiklanan, promosi dan penggunaan ICT.

PMKS kini merangkumi lebih 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, namun ramai masih berdepan cabaran untuk mendapatkan pembiayaan tradisional. 

Dengan pelaksanaan skim baharu itu, SME Corp. Malaysia dan microLEAP berhasrat menutup jurang tersebut. 

Ia bukan sekadar menyediakan modal, tetapi juga keyakinan untuk PMKS terus berkembang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram