
EMPAT tahun menanti zuriat bukanlah satu tempoh yang singkat.
Doa yang tidak pernah putus akhirnya dimakbulkan ALLAH dengan cara yang cukup indah.
Bukan seorang, tetapi sepasang kembar yang membawa kebahagiaan berganda kepada pasangan ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Seni bina masjid brutalis jadi lambang cahaya, spiritualiti di India
BACA LAGI: Dari perabot hingga fesyen, 3 pereka dedah bagaimana AI merubah landskap industri kreatif
Lebih unik, kembar tersebut mempunyai penampilan berbeza yang mana seorang albino berambut putih, seorang lagi berkulit sawo matang.
Menurut Nor Azlinee, pada awal kehamilan doktor mengesan hanya seorang bayi dalam kandungan.
Tetapi ketika pemeriksaan semula pada usia tiga bulan, doktor menemui kantung kedua walaupun ketika itu degupan jantung belum jelas kelihatan.
Hati ibu dan ayah berdebar menanti, apakah bayi dalam kantung itu mampu membesar dengan sihat.
Beberapa pemeriksaan seterusnya akhirnya mengesahkan berita gembira, kedua-dua bayi berkembang sempurna.
Detik manis Azlinee menimang cahaya mata kembar selepas 4 tahun menunggu. — Facebook/Azlinee A Kadir
Ketika usia kandungan 37 minggu empat hari, Azlinee mula menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin.
Walaupun sudah dijadualkan untuk pembedahan caesarean, beliau dibawa ke bilik bersalin dan berpeluang merasai pengalaman melahirkan anak secara normal.
Bayi pertama lahir secara normal dengan berat 2.1 kilogram (kg), malah masih berada di dalam kantung ketika keluar.
Rambut dan keningnya kelihatan putih, sesuatu yang jarang dilihat.
Namun Azlinee tidak sempat berfikir lama kerana masih perlu melahirkan seorang lagi.
Disebabkan tenaga sudah habis dan bimbang risiko bayi lemas, doktor memutuskan pembedahan caesarean untuk bayi kedua.
Alhamdulillah, bayi kedua selamat dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram.
Selepas selamat bersalin, doktor menerangkan bahawa salah seorang bayi adalah albino, namun sihat sepenuhnya.
Tidak perlu rawatan khas, hanya pemeriksaan berkala.
Kini, selepas enam tahun berlalu, kedua-duanya membesar dengan sihat dan aktif.
Mereka diberi nama Sollehin (berambut putih) dan Asyraf (berkulit sawo matang).
Minat berbeza, tetapi ikatan kasih sayang mereka tetap kukuh. — Facebook/Azlinee A Kadir
Pergi ke mana sahaja, pasti orang tidak percaya bahawa Sollehin dan Asyraf adalah pasangan kembar kerana perbezaan rupa yang amat ketara.
Bukan sahaja penampilan, malah minat dan selera mereka juga jauh berbeza.
Makanan: Sollehin lebih gemar ulam, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan, manakala Asyraf lebih memilih makanan ala Barat serta buah import seperti epal, pir atau oren.
Kartun: Sollehin suka menonton kartun tempatan seperti Omar Hana dan Upin Ipin, manakala Asyraf pula menggemari Ultraman dan Spiderman.
Perbezaan itu sering mencuit hati keluarga, terutama bila tiba masa menonton televisyen kerana mereka pasti berebut cerita kegemaran masing-masing.
Walaupun berbeza rupa dan minat, hubungan mereka sangat rapat.
Apabila salah seorang tiada, yang seorang lagi akan cepat bertanya kerana mereka tidak boleh berpisah lama, dan di situlah terserlah keakraban seorang kembar dengan kembarnya.
"Sebagai ibu, saya sangat bersyukur melihat mereka membesar dengan sihat walaupun berbeza tingkah laku.
"Alhamdulillah kedua-duanya jarang sakit, itu pun sudah cukup besar nikmatnya," kata Azlinee.
Penantian penuh sabar selama empat tahun akhirnya berbalas dengan hadiah paling indah.
Kembar Sollehin dan Asyraf bukan sahaja membawa kegembiraan buat keluarga, tetapi juga menjadi bukti bahawa setiap anak lahir dengan keunikan tersendiri yang wajar diraikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram