
RAMAI ibu bapa mungkin pernah melalui situasi anak kerap berhingus, selsema berulang atau seperti kurang memberi respon apabila dipanggil.
Kadangkala kita menganggap ia sekadar masalah biasa seperti earwax (taik telinga) atau anak terlalu fokus pada sesuatu.
Namun, realitinya, ia mungkin tanda awal masalah pendengaran yang lebih serius.
Perkongsian daripada. Dr Hannani Kamarudin, doktor sering berkongsi ilmu kesihatan di Instagram, membuka mata ramai ibu bapa apabila beliau sendiri melalui pengalaman berkenaan ini bersama anaknya, Ahsan yang baru berusia empat tahun.
Menurut Dr. Hannani, beliau mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila Ahsan sering menonton YouTube dengan bunyi terlalu kuat.
Pada mulanya, beliau menyangka telinga anaknya tersumbat dengan earwax.
Namun selepas dibawa berjumpa pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), pemeriksaan mendapati telinga Ahsan tidak mempunyai masalah sumbatan serius.
Seterusnya, ujian audiometri dijalankan dan keputusannya mengejutkan apabila bacaan menunjukkan 'flatline', menandakan kehilangan pendengaran jenis konduktif (conductive hearing loss).
Punca sebenar – cecair dalam telinga tengah
Masalah itu berlaku bukan kerana air luar masuk ke dalam telinga, tetapi disebabkan cecair berkumpul di telinga tengah akibat saluran eustachio tersumbat.
Cecair itu yang akhirnya menjejaskan penghantaran gelombang bunyi ke gegendang telinga, lantas menyebabkan kanak-kanak kurang pendengaran.
Jika dibiarkan lama, ia boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai 'otitis media effusion (glue ear)', telinga tengah mudah dijangkiti kuman dan lebih kerap mengalami radang.
Cecair dalam telinga tengah sering menjadi punca ‘glue ear’.
Kajian yang diterbitkan dalam The Lancet menyatakan lebih 80 peratus kanak-kanak akan mengalami sekurang-kurangnya pengalaman otitis media effusion sebelum usia 10 tahun.
Masalah itu boleh menyebabkan kelewatan perkembangan bercakap, prestasi akademik yang menurun dan masalah tingkah laku kerana anak tidak dapat mendengar dengan baik.
Pilihan rawatan
Dalam kes Ahsan, doktor mencadangkan dua pilihan:
1. Miringotomi – Prosedur membuat lubang kecil pada gegendang telinga untuk mengeluarkan cecair. Namun, kerana Ahsan masih kecil dan aktif berenang, prosedur itu kurang sesuai.
2. Otovent (balon tiub) – Rawatan bukan pembedahan yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Apa itu balon Otovent?
Otovent ialah sejenis alat mudah yang terdiri daripada tiub dan belon kecil.
Kanak-kanak akan meniup belon melalui hidung, dan proses itu membantu membuka saluran eustachio yang tersumbat, lalu membolehkan cecair dalam telinga tengah keluar.
Kelebihan Otovent:
- Alternatif bukan pembedahan – sesuai untuk kanak-kanak yang masih kecil atau aktif.
- Mengurangkan cecair telinga tengah – sekali gus membantu memulihkan pendengaran.
- Mudah didapati – boleh dibeli di farmasi atau platform dalam talian seperti Shopee.
- Kos efektif – lebih murah berbanding prosedur pembedahan.
- Boleh digunakan di rumah – dengan pengawasan ibu bapa.
Disyorkan oleh pakar ENT sebagai rawatan awal sebelum mempertimbangkan pembedahan.
Malah satu systematic review oleh Cochrane (2015) mendapati penggunaan Otovent meningkatkan fungsi tiub eustachio dan mempercepatkan pemulihan daripada otitis media effusion.
Manakala kajian di Sweden melaporkan bahawa sekitar 50 peratus kanak-kanak yang menggunakan Otovent berjaya mengelakkan pembedahan grommet (tiub telinga).
Otovent digunakan sebagai rawatan tanpa pembedahan.
Tanda-tanda awal masalah pendengaran pada kanak-kanak
- Selain selalu selsema atau berhingus, ibu bapa perlu peka dengan tanda berikut:
- Anak sering menaikkan volume televisyen atau gajet terlalu kuat.
- Sukar memberi tumpuan atau lambat respon bila dipanggil.
- Kerap ulang perkataan “ha?” atau “apa?”.
- Pertuturan lambat atau pelat tidak sesuai dengan usia.
- Selalu nampak anak kelihatan 'blur' bila dalam suasana bising.
"Kalau anak selalu berhingus, selsema berulang atau volume televisyen atau YouTube terlalu kuat, jangan anggap ia perkara kecil.
"Cepat-cepatlah bawa jumpa pakar ENT dan buat pemeriksaan pendengaran," pesan Dr. Hannani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram