Rak buku, mini 'island' antara 6 idea kreatif pisahkan dapur, ruang tamu tanpa perlu bina dinding


  • Hias
  • Selasa, 09 Sep 2025

Enam idea kreatif pisahkan dapur dan ruang tamu tanpa dinding, kekal cerah serta harmoni.

KEDIAMAN moden hari ini semakin cenderung kepada konsep ruang terbuka yang menggabungkan dapur dan ruang tamu.

Namun, gaya hidup harian memerlukan privasi, keselesaan, kawalan bau dan susun atur yang lebih teratur.

Atas sebab itu, ramai pereka mula mencari jalan bagaimana memisahkan dapur dan ruang tamu tanpa menjejaskan cahaya semula jadi, keselesaan dan suasana mesra keluarga.

BACA LAGI: Menara Eiffel bakal ukir nama 72 tokoh wanita berjasa dalam bidang sains, teknologi

BACA LAGI: Stadium kayu pertama Jepun simbol kebangkitan komuniti, bumbung inspirasi rumah tradisional Ouchi-juku

Persoalannya, apakah idea dan perabot ideal boleh dijadikan pilihan? 

Berikut enam cadangan kreatif untuk memisahkan ruang dapur dan ruang tamu tanpa perlu membina dinding.

1. Pulau sebagai pusat aktiviti

Pulau dapur bukan sahaja menambah ruang kerja, malah menjadi tumpuan utama yang memisahkan dapur dan ruang tamu.

Dengan kedudukannya di tengah, ia membolehkan ahli keluarga berinteraksi sambil menyediakan hidangan.

Bagi ruang yang lebih kecil, mini pulau adalah pilihan praktikal.

Ia menyambung terus dari kabinet atau dinding, bertindak sebagai pemisah ringkas yang tetap mengekalkan aliran pergerakan.

Kedua-duanya bukan sekadar elemen fungsi, tetapi simbol gaya hidup moden yang mesra keluarga.

Perabot rendah dan karpet membantu menandakan sempadan antara dua fungsi ruang.

2. Rak buku dua muka, bilah kayu menegak

Rak buku dua muka memberi dua manfaat serentak iaitu memisahkan ruang sambil menyediakan ruang simpanan.

Selain itu, ia turut menyalurkan cahaya, menjadikan suasana lebih lapang dan segar.

Manakala bilah kayu menegak pula memberi sentuhan kontemporari.

Ia tidak menghalang pandangan sepenuhnya, sebaliknya menambah tekstur dan permainan cahaya.

Hasilnya, ruang kelihatan hangat, moden dan lebih berkarakter.

3. Dinding kaca atau pintu gelangsar

Jika cahaya semula jadi adalah keutamaan, dinding kaca atau pintu gelangsar menjadi pilihan terbaik.

Ia memelihara rasa keterbukaan ruang, namun pada masa sama membantu mengurangkan bau masakan dan bunyi bising dari dapur.

Kaca jernih mengekalkan aliran visual, manakala kaca frosted atau berwarna boleh menambah gaya dramatik.

Dengan sedikit kreativiti, ia boleh menjadi elemen seni bina yang menyerlahkan identiti kediaman.

Panel boleh alih mencipta fleksibiliti dalam pemisahan ruang dalaman.

4. Sofa, perabot rendah sebagai garisan halus

Sofa yang diletakkan membelakangi dapur mampu mencipta persempadanan lembut tanpa perlu penghadang fizikal.

Ia seakan 'dinding empuk' yang mengekalkan suasana santai ruang tamu.

Tambahkan konsol rendah, permaidani atau kabinet sisi untuk menguatkan sempadan tersebut.

Gabungan warna fabrik sofa dengan palet dapur juga mampu menghasilkan kesinambungan visual yang harmoni.

5. Panel boleh alih, pintu tekstil

Panel gelangsar, pintu fabrik atau kulit, malah partisyen mudah alih menawarkan fleksibiliti.

Ia boleh dibuka apabila ruang mahu digabungkan atau ditutup ketika perlukan lebih privasi.

Selain praktikal, elemen itu juga mampu menjadi dekorasi menarik.

Tirai moden dengan warna atau tekstur unik, contohnya, boleh menambah sentuhan seni dan menjadi tarikan utama ruang terbuka anda.

6. Lantai, warna, siling palsu

Kadang-kadang pemisahan tidak memerlukan apa-apa objek pun.

Cukup dengan bermain material dan warna.

Contohnya, lantai kayu di ruang tamu dan jubin seramik di dapur akan secara automatik mencipta sempadan jelas.

Begitu juga dengan siling palsu bercahaya lembut atau peralihan warna dinding kerana semuanya mampu membezakan fungsi ruang sambil mengekalkan kesinambungan gaya rumah.

Pulau dapur berfungsi sebagai pemisah ruang yang praktikal dan bergaya.

Memisahkan dapur dan ruang tamu tanpa dinding adalah tentang kreativiti, bukan sekadar fungsi.

Dengan enam idea itu, ruang terbuka boleh kekal cerah, teratur dan bergaya, sambil mengekalkan keharmonian seisi rumah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram