Reka bentuk banglo usang milik gadis berusia 20-an jadi perhatian, bagai jumpa 'harta emas', ramai bayangkan hasil transformasi


  • Hias
  • Ahad, 07 Sep 2025

Banglo usang milik pertama Nini (kiri) menanti transformasi sehingga ramai berkongsi idea dan membayangkan hasil renovasi seperti lakaran gambar kanan.

DI hujung laluan berbatu dipenuhi rumput menjalar, berdiri sebuah banglo dua setengah tingkat yang masih teguh dengan gaya klasiknya.

Biarpun cat putihnya sudah pudar, tingkap-tingkap berbingkai merah mula dimamah masa dan balkoni dipenuhi lalang, rumah itu masih menyimpan aura megah yang tidak pernah hilang.

Ia ibarat permata lama yang menunggu untuk digilap kembali.

BACA LAGI: [VIDEO] Seni bina masjid brutalis jadi lambang cahaya, spiritualiti di India

BACA LAGI: Dari perabot hingga fesyen, 3 pereka dedah bagaimana AI merubah landskap industri kreatif

Siapa sangka, rumah penuh sejarah itu kini menjadi milik seorang anak muda berusia 20 tahun, Nini.

Ia bagai sebuah pencapaian besar yang membanggakan ibunya, Norwaliza Abdul Wahab.

"Tahniah untuk rumah pertama Nini! Pada usia 20-an, ini satu pencapaian besar. Mama bangga dengan kamu.

"Rumah ini mungkin nampak usang, tapi Mama sudah ada idea untuk jadikan ia sebuah tempat yang indah dengan laman yang cantik," kongsi Norwaliza di Facebook.

Rumah itu berdiri atas tanah seluas 6,000 kaki persegi dengan enam bilik, tiga bilik air, dua dapur serta halaman yang luas.

Paling penting, lokasinya hanya berdekatan Seremban, tempat tinggal sang ibu.

Bagi ramai yang melihat, reka bentuk rumah klasik seperti itu semakin sukar ditemui pada era moden dikelilingi kondominium dan apartmen.

Justeru, walaupun usang, rumah sebegini dianggap sebagai 'harta emas' kerana potensi renovasi sangat besar.

Majoriti sendiri sudah membayangkan beberapa elemen sekiranya pemilik rumah melakukan transformasi wajah baharu bagi kediaman berkenaan.

  • Fasad moden klasik – Mengekalkan reka bentuk asal dengan kemasan cat putih baharu, bingkai tingkap kayu diganti dengan aluminium hitam untuk gaya elegan.
  • Laman ala inggeris – Mengubah halaman luas dengan rumput karpet, laluan batu, bunga-bungaan serta gazebo kecil.
  • Ruang dalam terbuka – Meruntuhkan dinding dapur kecil untuk digabungkan dengan ruang makan, menghasilkan suasana lebih moden dan mesra keluarga.
  • Teras dan balkoni – Menambah pagar besi moden dan perabot luaran untuk ruang santai bersama keluarga.
  • Pencahayaan semula jadi – Menggantikan tingkap lama dengan kaca besar, membolehkan cahaya semula jadi menerangi ruang tamu.

Dengan sentuhan renovasi, banglo itu berpotensi untuk bertukar menjadi kediaman idaman yang seimbang antara klasik dan moden.

Malah ramai kenalan Norwaliza yang turut berkongsi keterujaan di ruangan komen perkongsian tersebut.

Sharizal Kamal: "Pembelian ini sangat bijak. Kalau lokasi cantik dan harga berbaloi, kos ubah suai pasti menghasilkan rumah yang luar biasa."

Azah Gaffor: "Rumah ini cantik dan luas. Tak sabar nak lihat transformasi. Tahniah Nini!"

Nabilah Nasir: "Saya lebih suka rumah lama berbanding rumah baharu. Binaan lama lebih kukuh. Tengok bucu lantai pun dah nampak kualitinya. Kalau rumah baharu, silap langkah boleh cepat retak."

Norwaliza pula menguatkan lagi semangat dengan melihat rumah sebelah yang sudah direnovasi.

"Kalau jiran dah boleh ubah jadi cantik, rumah Nini pun Insya-ALLAH lebih indah. Laman luas ini memang boleh buat apa sahaja, nak tarik depan, belakang, tepi, semua ada ruang," katanya penuh yakin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram