[VIDEO] Lepas kantoi skandal dengan CEO Astronomer di 'kiss cam' konsert Coldplay, ketua HR tuntut cerai pada suami


  • Cinta
  • Ahad, 07 Sep 2025

Tular di 'kiss cam' konsert Coldplay, Kristin Cabot kini failkan cerai selepas hubungan dengan CEO Astronomer jadi perhatian.

KRISTIN Cabot, wanita yang tular selepas dirakam berpelukan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astronomer ketika konsert Coldplay, dilaporkan memfailkan permohonan cerai daripada suaminya bulan lalu.

Menurut dokumen mahkamah, Cabot yang sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia (HR) syarikat teknologi berasaskan data tersebut telah memfailkan petisyen perceraian pada 13 Ogos lalu di Portsmouth, New Hampshire.

Prosiding kes berkenaan masih berjalan dengan perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 26 November ini di Mahkamah Litar ke-10 New Hampshire, bahagian keluarga.

BACA LAGI: Reka bentuk banglo usang milik gadis berusia 20-an jadi perhatian, bagai jumpa 'harta emas', ramai bayangkan hasil transformasi

BACA LAGI: [VIDEO] Seni bina masjid brutalis jadi lambang cahaya, spiritualiti di India

Setakat ini, baik Cabot mahupun bekas majikannya, Andy Byron, belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan tersebut.

Insiden tersebut bermula pada 16 Julai lalu, ketika konsert Coldplay di Gillette Stadium, Massachusetts.

Cabot dilihat berpelukan bersama Byron, yang ketika itu merupakan CEO Astronomer dan juga majikannya, ketika wajah mereka muncul di skrin besar 'kiss cam'.

Reaksi spontan pasangan itu, Cabot menutup muka manakala Byron pula cuba mengelak daripada kamera.

Ia mencetuskan perhatian penonton sehingga vokalis Coldplay, Chris Martin, sempat berseloroh di atas pentas: "Sama ada mereka sedang bercinta atau mereka sangat pemalu."

Tidak lama selepas rakaman tersebut tular, Byron mengumumkan peletakan jawatan, diikuti dengan pengunduran diri Cabot beberapa hari kemudian.

Pakar sumber manusia ketika itu menyifatkan tindakan mereka sebagai kegagalan menunjukkan teladan sebagai pemimpin, sama ada dengan mengelakkan hubungan pejabat ataupun sekurang-kurangnya membuat pendedahan secara profesional.

Malah, insiden itu turut mengundang perbincangan mengenai bahaya hubungan antara majikan dengan pekerja bawahan kerana wujudnya dinamik kuasa yang tidak seimbang.

Syarikat berkenaan yang berpangkalan di New York, dan dikenali kerana kepakarannya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pertumbuhan perniagaan, bertindak kreatif menangani isu tersebut dengan melantik Gwyneth Paltrow, bekas isteri Chris Martin, sebagai poster di Instagram rasmi mereka.

Dalam iklan berkenaan, Paltrow menjawab soalan awam sambil menekankan kelebihan teras syarikat itu.

"Kami sangat gembira kerana semakin ramai yang kini berminat terhadap automasi aliran data," katanya dengan nada berseloroh.

Buat masa ini, tidak jelas sama ada permohonan perceraian Cabot mempunyai kaitan langsung dengan perhatian meluas akibat insiden tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram