
REKA bentuk sentiasa dianggap gabungan seni dan sains dengan rekaan serta fungsi perlu wujud seiring.
Namun, apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin meluas, bidang fesyen, seni bina dan perabot kini berdepan persimpangan baharu.
Bagi sesetengah pereka, AI seakan-akan mencabar nilai kemanusiaan yang menjadi asas dalam kreativiti mereka.
BACA LAGI: Didik anak dengan nilai empati, hentikan buli dari rumah
BACA LAGI: Cintakan sejarah tiup semangat usahawan buka kedai antik, gramofon 1920-an antara khazanah berharga
Tetapi bagi yang lain, teknologi itu membuka ruang untuk meningkatkan kecekapan daripada menjana idea, mengurangkan pembaziran hinggalah mempercepat proses penghasilan produk.
Suka atau tidak, kesannya semakin sama dengan AI sudah pun mempengaruhi bangunan yang kita diami, pakaian dalam almar dan perabot di rumah.
Tiga pereka terkenal dari industri berbeza berkongsi pengalaman bagaimana AI mengubah cara mereka bekerja.
Philippe Starck
Pada 2019, Philippe Starck memperkenalkan 'AI Chair', kerusi pertama di dunia yang direka bersama teknologi AI dan dihasilkan secara besar-besaran.
Projek itu dilancarkan di Milan Design Week bersama syarikat Itali, Kartell.
Pereka industrial ini mengakui dia pernah bosan dengan rekaan sendiri lalu mencari wilayah baharu tanpa dipengaruhi budaya atau sentimen manusia.
Maka, dia mula bereksperimen dengan perisian generatif milik Autodesk.
Prosesnya bukan mudah kerana AI mengambil masa lebih dua tahun sebelum mampu menghasilkan kerusi.
Kerusi rekaan AI menjadi simbol gabungan teknologi dan seni.
Starck kemudian mendapat inspirasi daripada bagaimana jari janin terbentuk dalam rahim melalui proses pembuangan sel.
Prinsip tersebut dikongsi kepada jurutera dan tidak lama selepas itu AI berjaya mencipta rekaan kerusi yang sesuai.
"AI bukanlah pencipta agung seperti manusia, sekurang-kurangnya belum lagi. Tetapi esok, siapa tahu?" kata Starck.
Bagi Starck, AI hanyalah alat kerana ia cepat menghubungkan maklumat dan menjimatkan masa, tetapi kreativiti sebenar masih lahir daripada magis otak manusia.
Dia menasihatkan pereka agar berhati-hati, kekal berpegang pada visi sendiri dan menggunakan AI hanya sebagai bantuan, bukan pengganti.
Norma Kamali
Norma Kamali bukan nama asing dalam gelanggang fesyen antarabangsa.
Sejak 1960-an, pereka fesyen ini sudah terbiasa menggunakan komputer dan minat itu berkembang apabila dia menyertai satu mesyuarat di Abu Dhabi.
Ketika itu, saintis mencadangkan untuk memuat turun fikirannya ke dalam AI ia merupakan satu idea yang terus mencetuskan inspirasi.
Kamali memiliki arkib fesyen lebih 57 tahun hasil kerjayanya.
Beliau kini menggunakan AI untuk menandakan setiap rekaan mengikut siluet, potongan leher dan elemen lain.
Apabila beliau memberi arahan, AI boleh mencadangkan variasi baharu berdasarkan DNA rekaannya.
Gaun ikonik diberi nafas baharu melalui sentuhan AI.
Contohnya, ketika beliau kehabisan idea untuk mengolah semula gaun belang hitam-beige popular, AI menghasilkan corak dan potongan baharu.
Anehnya, hasil rekaan AI itu dijual sama laris dengan hasil rekaan tangannya sendiri.
"AI boleh bawa rekaan saya ke mana sahaja dan hasilkan sesuatu yang baharu," ujar Kamali
Walaupun mengakui AI mungkin menggugat pekerjaan, Kamali percaya teknologi itu juga membuka peluang baharu dalam industri fesyen.
Bagi beliau, AI bukan untuk menggantikan kreativiti, tetapi untuk melanjutkan tempoh jenama serta memperkayakan idea.
Tim Fu
Dalam dunia seni bina pula, AI dilihat lebih daripada sekadar alat lakaran.
Menurut pereka muda Tim Fu, teknologinya boleh membantu dari peringkat awal seperti 'mood board', rekaan pelan lantai hinggalah cadangan penggunaan cahaya matahari.
Di firma Tim Fu Studio, mereka membangunkan set alat AI khusus untuk mengoptimumkan ruang.
Projek terbaharu mereka ialah resort mewah di Lake Bled, Slovenia yang menggunakan projek seni bina pertama sepenuhnya berasaskan AI.
Fu memperkenalkan projek seni bina mewah berasaskan AI di Lake Bled.
AI digunakan untuk memaksimumkan pemandangan tasik, menganalisis seni bina tradisional Slovenia dan mencadangkan reka bentuk yang mengekalkan warisan setempat tetapi dengan sentuhan moden.
"Sukar untuk mengakui bahawa ada aspek kerja kita yang mesin boleh lakukan lebih baik. Tetapi AI mempercepatkan kerja dan meningkatkan kualiti hasil," kata Fu
Namun bagi Fu, AI tidak akan menggantikan peranan arkitek.
Teknologi itu hanya membantu mempercepatkan proses, manakala sentuhan manusia tetap penting untuk menyatukan rekaan dengan pengalaman ruang sebenar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram