Wanita korban kerjaya untuk pulang ke kampung, pikul tanggungjawab jaga ayah uzur


  • Maya
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Farah pulang ke kampung demi menjaga ayahnya yang sakit sebagai tanda kasih dan bakti seorang anak.

TIDAK semua orang sanggup meninggalkan kerjaya yang dibina di bandar demi kembali ke kampung halaman.

Namun, itulah pilihan seorang anak bongsu yang mengutamakan tanggungjawab terhadap keluarga, apabila sanggup mengetepikan kerjaya untuk menjaga ayahnya yang sakit.

Seorang wanita muda sanggup melepaskan kerjaya demi pulang ke kampung halaman di Pahang untuk menjaga ayahnya yang sedang sakit, lapor media.

BACA LAGI: Giorgio Armani, pemergian legenda fesyen Itali meninggalkan warisan abadi

BACA LAGI: Tenang hadapi ragam emosi remaja, panduan ibu bapa kawal pergolakan tanpa konflik

Nur Farah Wahdani Samsudin, 28, baru-baru ini mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai guru tadika di Seri Kembangan, Selangor, untuk kembali ke Felda Sungai Koyan 2 menjaga bapanya, Samsudin Lop, 69, yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

Menurutnya, bapanya hidup sendirian hampir lima tahun sejak pemergian ibunya akibat kanser payudara pada Ogos 2020.

"Sejak arwah ibu tiada, kesihatan ayah semakin merosot kerana beliau tinggal seorang diri tanpa penjagaan rapi daripada saya atau lima orang lagi adik-beradik yang lain, memandangkan masing-masing ada komitmen sendiri.

"Sebagai anak bongsu, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk berhenti kerja dan balik kampung menjaga ayah," jelas Nur Farah.

Tambahnya, keadaan kesihatan bapanya semakin membimbangkan apabila Samsudin menjalani pembedahan hernia pada 5 Ogos lalu selepas mengalami kesakitan teruk.

"Selepas pembedahan itu, saya sedar betapa pentingnya untuk pulang segera menjaga beliau. Ayah perlu kawal pemakanan kerana ada risiko serangan gout dan hernia berulang. Jadi setiap hari saya pastikan beliau makan makanan yang betul," katanya.

Walaupun melepaskan kerjaya sebagai guru, nasib menyebelahi Nur Farah apabila dia ditawarkan pekerjaan sebagai kerani bagi menampung perbelanjaan harian.

Bagi Nur Farah, keputusan pulang ke kampung bukan satu pengorbanan yang sia-sia, sebaliknya peluang berharga untuk berbakti kepada ayah yang selama ini membesarkan dirinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram