Tenang hadapi ragam emosi remaja, panduan ibu bapa kawal pergolakan tanpa konflik


  • Bonda
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Remaja melalui fasa penuh cabaran emosi dan sosial yang memerlukan bimbingan serta kesabaran ibu bapa.

SETIAP ibu bapa pasti pernah mendengar tentang zaman memberontak atau fasa sukar yang dilalui anak ketika remaja.

Pada usia inilah mereka mudah berubah emosi, lebih suka mengasingkan diri, serta mencari kebebasan yang kadangkala mengundang kebimbangan keluarga.

Namun begitu, inilah juga masa terbaik untuk ibu bapa membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya anak tidak tersilap langkah.

BACA LAGI: Giorgio Armani, pemergian legenda fesyen Itali meninggalkan warisan abadi

BACA LAGI: Visi hijau arkitek wanita Thailand ubah hutan konkrit Bangkok

Zaman remaja ialah fasa peralihan antara kanak-kanak dan dewasa.

Ramai ibu bapa berasa cemas apabila anak yang dahulu periang dan penuh tenaga mula berubah menjadi seorang remaja 'moody' serta sukar dijangka.

Memahami perkembangan sosial dan emosi mereka pada tahap ini amat penting, kerana ia membantu ibu bapa lebih peka dengan cabaran dilalui anak dan memberi panduan untuk mendidik mereka dengan lebih berkesan.

Perubahan besar di alam remaja

Ketika memasuki usia remaja, anak mengalami perkembangan psikososial yang sangat pesat.

Perubahan itu berlaku seiring dengan lonjakan hormon seks seperti estrogen, progesteron dan testosteron yang bukan sahaja mengubah bentuk tubuh, malah turut mempengaruhi emosi.

Ditambah pula dengan tekanan daripada rakan sebaya dan pengaruh masyarakat, remaja mula menilai semula imej diri dan keyakinan mereka.

Cara mereka menyesuaikan diri berbeza-beza dengan gaya tersendiri, ada yang bereksperimen melalui fesyen, muzik atau sub-budaya baharu.

Malah ada yang mencontohi selebriti atau lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan berbanding keluarga.

Hubungan persahabatan menjadi lebih kukuh, malah ada yang mula menjalani hubungan romantik.

Dalam masa sama, mereka semakin mahukan kebebasan membuat keputusan sendiri, walaupun kadangkala membawa kepada tingkah laku berisiko.

Hubungan mesra keluarga membantu anak lebih yakin dengan diri sendiri.

Perubahan itu memang bukan sesuatu yang mudah diterima, namun ibu bapa tidak boleh membiarkan anak remaja terleka tanpa bimbingan.

Antara pendekatan yang boleh diambil ialah:

1. Jadi teladan

Anak remaja banyak memerhati cara ibu bapa berinteraksi dan menyelesaikan masalah. Jika mahukan anak bersikap baik, jujur dan bertanggungjawab, ibu bapa perlu terlebih dahulu menunjukkan nilai-nilai ini.

2. Berkomunikasi dengan berkesan

Sediakan ruang selesa untuk anak meluahkan perasaan dan cabaran mereka. Jangan cepat menghukum, sebaliknya tunjukkan minat terhadap kehidupan mereka tidak kira sama ada kawan, hobi atau rutin harian.

3. Jadi sumber ilmu

Kadangkala anak malu untuk bertanya tentang perkara tertentu. Jika ibu bapa tidak proaktif, mereka mungkin mencari jawapan daripada sumber yang tidak sahih. Jadi, ambil peluang untuk berbincang mengenai pelajaran, hobi, hubungan atau masalah mereka.

4. Kekal peka dan berwaspada

Dalam mencari kebebasan, ada remaja yang terjebak dengan rokok, vape, ponteng sekolah, penggunaan bahan terlarang atau sikap agresif. Sentiasa perhatikan perubahan tingkah laku mereka dan dapatkan maklumat daripada guru atau rakan sekelas.

5. Bertindak bila perlu

Jika ada sesuatu yang tidak kena, jangan berdiam diri. Dekati anak dengan tenang, berbincang secara baik dan jika perlu, dapatkan khidmat pakar.

Membentuk asas masa depan

Melihat anak membesar menjadi remaja memang satu pengalaman yang mencabar.

Namun inilah masa terbaik untuk membina asas kehidupan dewasa yang sihat dan bermakna.

Ibu bapa perlu memainkan peranan sebaik mungkin dengan membimbing, menyokong dan melindungi anak mereka daripada tersasar haluan. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram