[VIDEO] Seni bina masjid brutalis jadi lambang cahaya, spiritualiti di India


  • Hias
  • Sabtu, 06 Sep 2025

Masjid an-Noorayn di Kerala menampilkan seni bina brutalism konkrit dengan cahaya sebagai simbol spiritualiti Islam.

SENI bina brutalism biasanya dikaitkan dengan bentuk konkrit keras kini mendapat sentuhan baharu di Kerala, India, melalui pembinaan sebuah masjid unik yang menekankan cahaya dan kesederhanaan sebagai simbol spiritualiti.

Masjid an-Noorayn, hasil rekaan studio seni bina Common Ground, dibina sepenuhnya daripada konkrit terdedah tanpa sebarang hiasan tradisional seperti kubah, gerbang atau motif geometri yang sering dikaitkan dengan masjid.

Sebaliknya, struktur berbentuk segi empat tepat itu membawa kembali ingatan kepada bentuk awal seni bina Islam iaitu sederhana, asas dan berorientasikan kiblat semata-mata.

BACA LAGI: Tenang hadapi ragam emosi remaja, panduan ibu bapa kawal pergolakan tanpa konflik

BACA LAGI: Giorgio Armani, pemergian legenda fesyen Itali meninggalkan warisan abadi

Jalur cahaya semula jadi menerangi ruang solat utama.

Apa yang menjadikan masjid itu istimewa ialah cara arkitek mengolah cahaya meskipun tiada tingkap formal.

Cahaya semula jadi dimasukkan dengan pelbagai kaedah seperti jalur cahaya dari bumbung menuruni dinding, menara silinder berfungsi sebagai cerobong cahaya, serta rekahan halus di bahagian dasar bangunan yang membenarkan cahaya samar menyusup masuk ke ruang solat.

Di bahagian mimbar, iaitu tempat imam menyampaikan khutbah, terdapat satu lagi bukaan cahaya dari atas yang melambangkan hubungan antara alam dengan Yang Maha Esa.

Cahaya lembut itu bukan sahaja mengurangkan kekerasan tekstur konkrit, tetapi turut memberi suasana tenang dan khusyuk.

Menara silinder berfungsi sebagai cerobong cahaya ke dalam masjid.

Lebih menarik, projek itu diketuai oleh arkitek Muslim wanita, pengasas Common Ground, Simi Sreedharan.

Sejak awal lagi, beliau menekankan akses sama untuk lelaki dan wanita di ruang solat.

Oleh itu, dewan solat wanita ditempatkan dengan kedudukan sama dari pintu masuk.

Selain itu, masjid itu turut menempatkan ruang komuniti yang boleh digunakan di luar waktu solat, menjadikannya bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga pusat pertemuan masyarakat setempat.

Walaupun mengekalkan gaya tegas dan minimalis brutalism, masjid itu tidak menimbulkan rasa dingin atau asing.

Sebaliknya, gabungan cahaya, bentuk konkrit dan suasana tropika Kerala menjadikannya ruang yang kontemplatif, sederhana tetapi penuh makna spiritual.

Masjid an-Noorayn akhirnya membuktikan bahawa seni bina kontemporari boleh selari dengan roh Islam dengan menekankan kesederhanaan, cahaya sebagai simbol petunjuk Ilahi serta keterbukaan kepada masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram