
SUAMI kepada pelakon dan personaliti terkenal Mira Filzah, Wan Emir Astar menitip ucapan penuh romantis bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima pada Rabu.
Menerusi perkongsian di laman sosial, Wan Emir mengimbau kembali perjalanan rumah tangganya bersama Mira yang disifatkan sebagai penuh dengan doa, tawa, serta ujian yang mendewasakan mereka sebagai pasangan.
"Lima tahun sudah, kekasihku @mfmirafilzah, lima tahun penuh tawa, doa dan cerita dari detik pertama kau hadir di jiwa, hingga ke saat lafaz akad untuk menjagamu, setiap hela nafas perjalanan kita adalah anugerah yang tak ternilai," ciapnya penuh romantis di laman Instagram.
BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar
Dalam nukilan panjang itu, Wan Emir menggambarkan Mira bukan sekadar isteri, tetapi juga sahabat paling setia serta peneman hidup yang mengajarnya erti syukur, pengorbanan dan ketenangan.
"Dalam setiap senyummu ku temui ketenangan, dalam setiap tangismu ku temui bahagia dan kekuatan," tambahnya lagi.
Ucapan tersebut turut menzahirkan harapan agar mahligai cinta dibina sentiasa dalam lindungan ALLAH selain mendoakan agar kasih sayang terjalin terus kekal hingga ke akhir hayat.
Perjalanan lima tahun bersama
Wan Emir dan Mira Filzah mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020 dalam sebuah majlis sederhana namun penuh meriah dan pasangan sama cantik sama padan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir pada 2022.
Mira Filzah dan Wan Emir dikurniakan seorang cahaya mata lelaki diberi nama Wan Khair Amir.
Walaupun lima tahun telah berlalu, kedua-duanya kekal menjadi perhatian peminat kerana sering berkongsi momen keluarga yang penuh kasih sayang dan sederhana.
Ucapan puitis Wan Emir yang menyifatkan Mira sebagai 'kekasih di dunia, permaisuri di akhirat' nyata mencuri perhatian warganet malah ramai yang mendoakan agar mereka dikurniakan kebahagiaan sekali gus menjadi inspirasi rumah tangga harmoni buat peminat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram