
QARIAH dan pendakwah terkenal, Nor Farhatul Fairuzah Panut atau lebih mesra disapa Farha, menyambut kelahiran cahaya mata sulung lelaki pada 9 Rabiul Awwal 1447 Hijrah bersamaan 2 September 2025, bertepatan dengan bulan Maulidurrasul.
Dalam perkongsian di media sosial, Farhatul meluahkan rasa syukur kerana puteranya hadir pada bulan penuh keberkatan yang menyaksikan juga hari kelahiran Rasulullah SAW.
Memuat naik zikir lena berjudul Zikir Lailahaillallah (Zikir Lena Si Manja) di saluran YouTube miliknya, ia merupakan hadiah bukan sahaja untuk bayinya, malah buat semua ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
BACA LAGI: Sidang Kemuncak SCO Tianjin, Wan Azizah perkukuh hubungan bersama isteri pemimpin dunia
BACA LAGI: 'Suami pernah tercampak keluar kerana beriba', ibu terapkan 3 anak duduk 'car seat' sejak bayi demi keselamatan
"Alhamdulillah sempena kelahiran cahaya mata ni, keberkatan Maulidurrasul hari kelahiran Rasulullah SAW, Farha hadiahkan zikir lailahaillah pada anak-anak yang sebaya dengan anak Farha dan seangkatan dengannya.
"Moga dengan zikir ini lebih memberi ketenangan hati dan jiwa kepada anak-anak serta ibu ayah," ujarnya menerusi hantaran di Instagram.
Farhatul dalam perkongsian berasingan turut menzahirkan doa agar anak sulungnya membesar sebagai insan soleh yang taat kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya.
"Bertambah seorang umat Rasulullah S.A.W pada bulan yang mulia Rabiul Awwal, doakan anak ini menjadi anak yang soleh, taat pada perintah ALLAH dan Rasul, serta membawa umat cinta pada ALLAH dan Rasul-Nya.
"Doakan juga Farha dan suami dapat menjaga amanah ini sebaiknya," ujarnya.
Latar belakang Farhatul
Farhatul Fairuzah, 24, dikenali sebagai qariah muda berbakat yang mencipta nama selepas menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 2019.
Muncul sebagai qariah termuda menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017), Farhah sebelum ini pernah menerima tauliah mengajar bidang al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Suaranya yang merdu serta bacaan penuh penghayatan menjadikan graduan Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan al-Sunnah itu antara ikon generasi muda dalam bidang tilawah di Malaysia.
Kelahiran anak sulungnya yang bertepatan dengan bulan Maulidurrasul menjadi momen penuh simbolik dan bermakna bukan sahaja untuk dirinya, malah buat para pengikutnya yang sentiasa menantikan perkongsian dakwah melalui lantunan bacaan suci serta zikir daripadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram