
SETIAP kelahiran anak adalah kurniaan daripada sang pencipta sebagai amanah dan penambah seri dalam rumah tangga usai mendirikan perkahwinan.
Namun, tidak dinafikan masih wujud fahaman individu beranggapan anak lelaki lebih sesuai sebagai anak sulung kerana mampu menjadi penyambung legasi dan pelindung keluarga apabila meningkat dewasa kelak.
Ramai beranggapan membesarkan anak sulung perempuan lebih mencabar kerana sifat mereka yang rapat dengan ibu, penuh dengan emosi dan sensitif terhadap persekitaran.
BACA LAGI: FFG rai hari jadi, santuni keluarga miskin bandar di Lorong Haji Taib
BACA LAGI: Kontinjen beruniform wanita dan K9 berkaca mata, ini 5 tarikan utama sambutan Hari Kebangsaan ke-68
Hakikatnya, kelahiran anak perempuan terutamanya sebagai anak sulung juga dikatakan membawa keistimewaan tersendiri.
Berdasarkan perkongsian di laman Threads, seorang personaliti dan penulis buku menyifatkan kelahiran cahaya mata sulung perempuan membawa satu kebaikan dan aura positif buat si ibu.
"Mendidik anak perempuan, kita akan terpaksa mengorbankan perasaan, anak perempuan, apalagi yang pertama ia 'panas' dengan ibunya.
"Pada anak perempuan pertama, ada saja tak kena tapi, walau sayang macam mana ia pada ayah, kasih ibunya tetap yang pertama," ujarnya.
Berkongsi beberapa pendekatan boleh dilakukan ibu bapa dikurniakan anak perempuan sulung, berikut antara yang perlu diberikan perhatian.
1. Raikan dengan kata-kata dan hadiah – Hargai kegembiraan, kesedihan, kejayaan atau kegagalannya.
2. Peka terhadap perasaan – Anak perempuan lebih mudah disentuh dengan belaian emosi.
3. Didikan taat kepada ibu bapa – Ia bakal menjadi asas ketaatan kepada suami kelak.
4. Biasakan berada di rumah – Supaya mereka selesa dengan peranan utama seorang wanita sebagai tunjang keluarga.
Maka, tidak hairanlah wujudnya pepatah yang menyebut 'membela 10 ekor lembu lebih mudah daripada mendidik seorang anak' kerana amanah dipikul cukup berat selagi si anak masih belum berkahwin.
Anak sulung perempuan bawa keberkatan?
Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa terdapat sebuah riwayat dengan lafaz: "antara keberkatan wanita ialah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan".
Namun selepas penelitian ulama hadis, riwayat tersebut tidak sahih, bahkan ada yang menilainya sebagai palsu antaranya:
1. Al-Suyuti – Menilai ia tidak sahih.
2. Ibn al-Jauzi – Menganggap hadis tersebut palsu.
3. Al-Sakhawi al-Dailami – Membawakan jalur lain, namun tetap dipersoalkan kesahihannya.
Walaupun begitu, ayat al-Quran jelas menyebut bahawa ALLAH mengurniakan anak lelaki atau perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki (Surah as-Syura: 49).
Begitu juga beliau riwayatkan dengan jalur Aisyah RA secara marfuʻ, lafaz seperti berikut:
من بركة المرأة على زوجها تيسير مهرها وأن تبكر بالإناث
Maksudnya: “Antara keberkatan wanita ke atas suaminya ialah memudahkan maharnya dan memulakan kelahirannya dengan anak perempuan.[5]
Anak lelaki atau perempuan, kedua-duanya rezeki
Mufti dalam masa sama menegaskan bahawa kelahiran anak sama ada lelaki atau perempuan tetap membawa keberkatan, ketenangan serta rezeki kepada sesebuah keluarga.
Walaupun riwayat mengenai keberkatan anak sulung perempuan tidak sahih, ia tetap menjadi simbol kasih sayang pertama seorang ibu.
Paling utama, baik anak lelaki mahupun perempuan kedua-duanya merupakan anugerah ALLAH yang mesti dijaga, dididik dan diraikan sebagai amanah terbesar dalam kehidupan berkeluarga.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram