Hasilkan baju Puteri Perak, Minangkabau, lelaki dari Nilai sanggup berhabis ribuan ringgit demi koleksi Semanis Merdeka


  • Bisnes
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Ziddaini (tengah) bersama model cilik yang memperagakan koleksi Projek Semanis Merdeka. — Ariff Yunus

SETIAP kali tiba bulan Ogos, Ziddaini Putra Yazit, 47, pasti berasa teruja kerana dia peluang menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air melalui sentuhan kreatif.

Pereka hantaran perkahwinan dan dekorasi acara dari Nilai, Negeri Sembilan itu tampil dengan koleksi unik bertemakan Projek Semanis Merdeka.

Seperti tahun sebelumnya, Ziddaini akan membuat rekaan koleksi pakaian kanak-kanak bertemakan Hari Kebangsaan bagi meraikan semangat perpaduan dan keharmonian.

BACA LAGI: [VIDEO] Jiwa patriotik Kayla disemai sejak bayi, kostum 'Srikandi Pahang' serikan Hari Kebangsaan ke-68

BACA LAGI: 'Dah kenal perangai mak-mak masa merdeka', suri rumah hasilkan cekak kawat bulu, aksesori murid ke sekolah

Setiap tahun, Ziddaini tanpa jemu akan membuat rekaan koleksi pakaian kanak-kanak bertemakan Hari Kebangsaan. — Ariff Yunus

Koleksi tersebut mengetengahkan kepelbagaian budaya di negara ini dengan menampilkan baju Minangkabau Negeri Sembilan, baju Puteri Perak, samfu, sari, serta baju Bidayuh (Sarawak). 

Tambah menarik, semua rekaan dihiasi elemen polka dot biru, merah, kuning dan putih daripada warna Jalur Gemilang.

Bagi projek kali ini, Ziddaini tidak bergerak sendiri sebaliknya disiapkan bersama empat tukang jahit, dua jurusolek serta lima pengusaha kek home-based dari Nilai.

"Kesemuanya suri rumah tapi mahir dalam bidang masing-masing yang secara tidak langsung membantu menambah pendapatan keluarga masing-masing.

"Dari menempah fabrik hingga ke sesi fotografi, semuanya disempurnakan dalam tempoh kurang sebulan," katanya yang sanggup berhabis ribuan ringgit demi menjayakan projek tersebut.

Mageswari Manokaran merupakan salah seorang tukang jahit yang membantu menghasilkan koleksi Projek Semanis Merdeka. — Ariff Yunus

Ini bukan kali pertama Ziddaini mencuri perhatian menerusi kreativitinya.

Pada 2022, koleksi busana angkasawan dan ceongsam mini yang direka untuk anak saudara sempena sambutan Merdeka di sekolah mendapat tumpuan ramai.

Tahun berikutnya, dia menzahirkan konsep camouflage Jalur Gemilang yang mengintegrasikan warna kebangsaan dalam busana tradisional. 

Tahun lalu pula, batik dan tie-dye menjadi pilihan, dengan model-model cilik menggayakan setiap helaian yang dihasilkan.

Bagi Ziddaini, setiap helaian bukan sekadar cantik di mata, tetapi harus ada cerita dan makna. 

Aleena Nayla (kiri) menggayakan baju Minangkabau manakala Ilyaana (kanan) (baju Puteri Perak). — Ariff Yunus

“Saya suka kelainan. Setiap rekaan mesti ada jiwa, bukan sekadar indah dipandang.

"Apabila kita lihat sesuatu yang indah mewakili negara, rasa bangga itu hadir sendiri.

"Generasi muda pula lebih tertarik kepada visual dan gaya, jadi biarlah kreativiti menjadi jambatan menyalakan semangat patriotik mereka,” katanya.

Berhubung koleksi Projek Semanis Merdeka, Ziddaini berkata, ia tidak dijual, tetapi boleh disewa. 

Ziddaini menggayakan baju Puteri Perak kepada Ilyaana Muhamad Saifuddin, Aleena Nayla Amierul Aizat (baju Minangkabau) dan Nur Carrissa Adra Khairul Amin (baju Bidayuh). 

Sari pula digayakan oleh Nawra Maleesa Mohamad Norminhad manakala Syarifa Ainul Mariah Abdul Syahid (samfu). — THE STAR / SHEELA CHANDRAN 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram