Dari satu gaun ke empayar fesyen global, pengasas Hill House kenang perjalanan bisnes di saat sarat kandung kembar


  • Bisnes
  • Khamis, 28 Ogos 2025

Hill House kini bekerjasama dengan pengilang dari 12 negara hampir di semua benua. — Agensi

KETIKA dunia dilanda pandemik Covid-19, orang ramai lebih mencari keselesaan di rumah. 

Namun bagi Nell Diamond, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hill House, saat genting itu menjadi titik lonjakan besar bagi perniagaannya. 

‘Nap Dress’, sehelai gaun ringkas dengan rekaan  fleksibel, bukan sekadar pakaian tetapi menjadi simbol keselesaan dan kebebasan di kala dunia penuh ketidakpastian.

BACA LAGI: 'Mak pesan buat baju jangan seksi-seksi', titipan bonda jadi pegangan Hafiza bawa jenama fesyen Muslimah

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah jual kereta nak tampung operasi bisnes, pasangan pengasas Ahmad's Fried Chicken enggan bersaing, mahu sama-sama 'go local'

Hill House bermula pada 2016 sebagai perniagaan kecil berasaskan produk rumah seperti cadar, bantal dan pakaian tidur. 

Namun, pada 2019, syarikat itu memperkenalkan Nap Dress sebagai gaun diinspirasikan daripada gaya fabrik berlipat 1950-an yang diberi nafas baharu dengan sentuhan moden. 

Dalam masa singkat, gaunnya tular di media sosial dan kini muncul dengan lebih 50 variasi rekaan.

“Pertumbuhan mendadak berlaku antara 2019 hingga 2020 ketika kuarantin dan saya sendiri sedang hamil anak kembar.

“Saya masih ingat, bekerja dari rumah di New York, Amerika Syarikat (AS) memandang keluar tingkap dan melihat seseorang berjalan dengan memakai gaun kami. 

“Perjalanan ini sangat berharga selepas tahu projek kecil saya benar-benar dikenali orang,” katanya.

Antara rekaan gaun pertamanya yang popular di kalangan pengguna. — Agensi

Kini, lebih satu juta Nap Dress telah terjual, Hill House meluaskan kategori ke pakaian kasual, renang dan membuka lima butik di seluruh AS, termasuk di New York dan Charleston. 

Nilai keuntungan syarikatnya juga dianggarkan mencecah RM708 juta (USD150 juta). 

Cabaran

Seperti banyak perniagaan lain, Hill House tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran. 

Krisis rantaian bekalan global semasa pandemik memberi kesan besar apabila kilangnya terpaksa ditutup, penghantaran ditangguh dan kesesakan di pelabuhan menjejaskan pelancaran koleksi.

“Dalam dunia yang terbiasa dengan penghantaran segera seperti aplikasi Amazon, mudah untuk kita lupa betapa rapuhnya rantaian manusia di sebalik setiap produk,” katanya.

Namun, Nell mengambil pendekatan telus untuk berkongsi situasi sebenar dengan pelanggan serta membina hubungan lebih erat. 

Pelanggan juga menghargai kejujuran itu, malah ia menjadi salah satu faktor utama yang membentuk komuniti pelanggan setia Hill House.

Hill House kini bekerjasama dengan pengilang dari 12 negara hampir di semua benua. 

Untuk memastikan piawaian terjamin, mereka menggunakan khidmat ‘Transparency One’ bagi menjejak setiap peringkat proses pembangunan dan mengaudit laporan pengilang.

Lebih daripada sekadar fesyen

Walaupun jualan dalam talian semakin mudah, Hill House mengimpikan butik fizikalnya untuk menawarkan pengalaman unik. 

Di Charleston, mereka memperkenalkan konsep sebuah ruang dengan stesen gula-gula layan diri serta bar kopi dan soda bagi meraikan gabungan inspirasi British dan akar budaya Amerika.

Nell Diamond memulakan kerjayanya dalam bidang kewangan tetapi beralih kepada dunia perniagaan demi minat mendalam. — Agensi

Konsep ‘rumah’ bagaimanapun masih menjadi sebahagian daripada perniagaan, tetapi tumpuan kini lebih pada fesyen. 

Menurutnya, dunia fesyen terkenal dengan perubahan pantas namun bagi Nell, strategi Hill House sudah cukup jelas.


“Kami hanya fokus pada pelanggan setia kami.

“Saya tidak terlalu risau tentang apa yang relevan untuk orang lain kerana yang penting adalah apa yang relevan untuk mereka,” jelasnya

Minat sejak remaja

Cinta Nell terhadap fesyen bermula sejak remaja ketika bersekolah di London, United Kingdom (UK). 

Selepas menamatkan pengajian di Princeton, beliau bekerja di firma kewangan.

Namun, minat terhadap dunia perniagaan dan fesyen akhirnya membawanya ke jalan berbeza.

“Mulanya rasa bersalah kerana terlalu suka fesyen, rupanya ia peluang kerjaya yang sebenar,” katanya.

Sebagai CEO, Nell bukan sahaja mengemudi strategi pertumbuhan syarikat, malah terlibat dalam hala tuju kreatif Hill House. 

Dari satu gaun sederhana, beliau berjaya membina sebuah jenama gaya hidup global yang menekankan keselesaan, kejujuran dan hubungan erat dengan pelanggan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram