
SEMANGAT kejiranan yang semakin pudar di kawasan perumahan menjadi ilham buat Azman Baba, 61, untuk membawa nafas baharu selepas dilantik sebagai Ketua Blok C di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Maluri, Kuala Lumpur pada Jun lalu.
Nekad melakukan perubahan besar dalam tempoh 100 hari, Azman berjaya mencuri perhatian ramai selepas videonya tular di media sosial sebelum ini.
Menerusi video dikongsikan di akaun TikToknya pada Selasa lalu, Azman dan beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa bersama-sama melibatkan diri dalam mesyuarat di koridor lif.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajaibnya tatap wajah ibu, 'ubat' mujarab selesai masalah
BACA LAGI: Dulu bertugas di awan biru, hobi wanita KL kini bertukar bisnes, buka bengkel kraf sulaman
Azman (kiri) menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Blok C di PPR Laksamana.
Lebih menarik apabila koridor tersebut dihias seperti ruang tamu rumah yang dilengkapi dengan meja, kerusi, kabinet dan kipas.
Menurut Azman, mesyuarat tersebut membincangkan tentang sambutan ambang hari kebangsaan yang akan dilakukan pada malam 30 Ogos nanti.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Azman menyemarakkan lagi semangat perpaduan dengan menyasarkan penglibatan kesemua penduduk di Blok C tanpa mengira kaum dan bangsa.
Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu juga berkata, kesepakatan penduduk turut diutamakan terutama dalam melakukan perbincangan untuk menjaga kebersihan, kecantikkan dan keharmonian kawasan PPR tersebut.
"Di sini juga ada beberapa pecahan AJK lain seperti makanan, hiasan dan lain-lain.
"Kesemua AJK memang terdiri daripada semua kaum, campur Cina, Melayu dan India.
"Setiap pelantikan mereka ini adalah supaya semua penduduk dapat memahami maklumat yang disampaikan dan sebagai penterjemah selain bahasa Melayu atau English.
"Jadi, apabila apa satu maklumat yang saya sampaikan sebagai ketua blok, kita akan terjemahkan dalam tiga bahasa menerusi mesej di WhatsApp," katanya kepada Majoriti.
Azman pada masa sama memastikan isu sensitif seperti perkauman tidak timbul dengan menguatkuasakan peraturan ketat dalam kumpulan komunikasi penduduk.
"Saya pesan, kalau ada yang guna kata-kata sensitif, kami akan keluarkan terus daripada kumpulan WhatsApp.
"Kalau ada masalah, kita bincang secara baik dan bukan bergaduh," ujarnya.
Pendekatan mesra komuniti itu juga membuahkan hasil apabila hubungan kejiranan mereka semakin erat.
Katanya, dengan pelbagai aktiviti komuniti dilakukan bersama, ia membantu setiap penduduk di kesemua tingkat untuk saling mengenali dan bertegur sapa.
Setiap koridor dihias dengan cantik dan kemas demi keselesaan penduduk.
"Kalau dahulu, jiran kiri kanan pun tak kenal. Sekarang Alhamdulillah, semua tingkat sudah saling bertegur sapa. Ini yang kita mahu, harmoni," tambahnya.
Sebagai bapa dan datuk, Azman turut mendidik keluarganya agar menghormati setiap peraturan yang diberikan.
"Saya pesan kepada cucu supaya jangan merosakkan kemudahan. Kalau nak main bola, pergi padang, bukan di koridor," ujarnya.
Sementara itu, Azman bersama AJK lain memulakan usaha transformasi merangkumi kerja-kerja gotong-royong seperti menghias koridor lif serta menyantuni penduduk.
Katanya, setiap tingkat turut mempunyai tema tersendiri dalam menghias koridor mereka seperti berkonsepkan kafe, kondominium, malah dekorasi Nusantara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram