
MENJALANKAN perniagaan bahan mentah seperti telur ayam mungkin terdengar mudah.
Namun, bagi seorang wanita tabah bernama Popi Dian Hartini dari Singgalang, Sumatera Barat, Indonesia, usaha itu menjadi sumber pendapatan luar biasa buatnya.
Daripada sekadar menjual telur di dalam kereta, Popi kini mampu mengedarkan sekitar lima tan telur ayam setiap hari.
BACA LAGI: Pendidik, aktivis wanita hijab pertama mara final pertandingan Mrs Singapore World 2025
BACA LAGI: Bermodalkan RM100, suri rumah hasilkan 'doorgift' comel, ringkas tapi tetap eksklusif
Popi mula berniaga dan menjadi pembekal telur ketika pandemik Covid-19. — Agensi
Kejayaannya juga tidak diperoleh dengan mudah, Popi juga terpaksa menjalani liku-liku kehidupan termasuk kerugian jutaan rupiah, malah pernah diisytiharkan muflis.
“Saya sentiasa percaya bahawa telur adalah makanan asas untuk semua orang.
“Sama ada kaya atau miskin, telur sentiasa ada di dalam peti sejuk mereka,” katanya ketika mengimbau kembali permulaan perniagaannya.
Dengan kepercayaannya, Popi nekad mengambil langkah berani di kala wabak pandemik Covid-19 melanda dunia.
Meskipun banyak perniagaannya yang berakhir dengan kegagalan, Popi masih berani untuk mengambil semula risiko itu.
Berkat usahanya, Popi kini dikenali sebagai usahawan berjaya dalam sektor pembekal telur yang memberi inspirasi kepada orang ramai.
Berkongsi tentang perjalanan awalnya, pandemik pada 2020 merupakan titik perubahan dalam kehidupan Popi.
Menurutnya, menjadi pembekal keperluan makanan merupakan peluang besar untuknya di saat ramai kehilangan pekerjaan.
Popi juga memulakan operasi dengan membeli sebanyak lebih 20,000 biji telur walaupun belum memasuki pasaran.
“Saya hanya fikir jika tidak mula bila lagi?.
“Orang ramai pasti memerlukan telur, jadi saya ambil risiko ini,” katanya.
Dengan modal yang terhad, Popi mula menjual telur dari van miliknya dan hanya meletakkan papan tanda ringkas yang tertulis ‘Menjual Telur’.
Popi juga mengambil langkah mengelilingi kampung dan menjual dari rumah ke rumah serta mempromosikan telurnya menerusi platform Facebook.
Walaupun keuntungan awalnya tidak sebanyak disangka, Popi tetap tidak berputus asa.
Hari demi hari pelanggan mula mengenali perniagaannya sehingga ada yang membeli sebanyak 5 kilogram (kg), 10kg malah lebih.
Popi sanggup berhenti kerja sebagai ejen insuran untuk membuka perniagaan sendiri. — Agensi
Namun, perjalanannya diuji seketika apabila Popi mengalami kerugian besar disebabkan telur yang dibelinya pecah ketika proses penghantaran.
“Saya pernah kerugian sehingga RM1,820 (7 juta rupiah) ketika itu.
“Rasa nak menangis pun ada, tetapi saya terpaksa teruskan,” katanya.
Bukan itu sahaja, kenaikan harga juga merupakan satu cabaran buatnya.
Akhirnya, pada April 2021, Popi akhirnya diisytiharkan muflis.
Wang simpanannya habis, rumahnya dijual, hutangnya bertimbun malah gaji pekerjanya juga tidak dapat dibayar.
“Bayangkan, telur sudah tiada, tetapi hutang pada pembekal masih ada, pekerja belum dibayar dan akaun saya kosong, saya benar-benar hancur.
“Ditambah pula saya pernah ditipu pelanggan sehingga RM11,707 (45 juta rupiah).
“Mula-mula memang sakit hati, tetapi saya anggap itu ujian.
“ALLAH takkan beri ujian di luar batas hamba-Nya," katanya sambil berlinangan air mata.
Sedekah Subuh
Di tengah kegawatannya, bapa Popi memintanya pulang ke kampung halaman dan berhenti menjalankan perniagaannya, namun dia masih memilih untuk bertahan.
“Saya beritahu bapa yang saya masih ada baki empat bulan untuk pajakkan kedai saya.
“Jika saya gagal lagi dalam tempoh empat bulan, saya akan pulang ke rumah," katanya.
Dengan bantuan kecil daripada bapanya, Popi berjaya melunaskan hutangnya dan bangkit semula.
Sekali lagi, Popi terus melangkah dengan lebih berdisiplin dan teratur dengan memperbaiki sistem penyimpanan rekod urusan jual beli serta lebih fokus mengekalkan kualiti produk.
"Kuncinya adalah kepercayaan. Jika kita mengekalkan kualiti dan kepercayaan, pelanggan akan kembali.
“Saya juga selalu amalkan bersedekah waktu Subuh sebagai jalan untuk pembuka pintu rezeki lebih luas.
“Walaupun diuji, saya percaya setiap sedekah yang diberikan pasti akan kembali.
“Rezeki itu bukan perhitungan, tetapi berkat,” jelasnya.
Kini, Popi berhasil mengedarkan 100,000 telur setiap hari malah, mampu membuka peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram