
SELEPAS dua tahun bercinta, bintang pop antarabangsa Taylor Swift akhirnya mengumumkan pertunangannya dengan pemain bola sepak Amerika Syarikat (AS), Travis Kelce sekali gus mengakhiri spekulasi hubungan pasangan selebriti berprofil tinggi itu.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat melalui siaran bersama di Instagram pada Selasa, memaparkan beberapa momen romantik yang dirancang Kelce di sebuah taman dihiasi bunga berwarna merah jambu dan putih.
Berkongsi kegembiraan itu di laman sosial, pelantun lagu Blank Space tersebut menyifatkan perkara tersebut sebagai penyatuan jiwa dari dua bidang latar belakang yang berbeza.
BACA LAGI: Lahir tarikh 31 Ogos, bermacam keistimewaan menanti 'Anak Merdeka', siap ada sijil khas
BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar
"Guru Bahasa Inggeris dan guru gim anda akan berkahwin," ujarnya yang merujuk kepada kariernya sebagai penyanyi manakala Kelce, 35, sebagai atlet tersohor bersama Kansas City Chiefs.
Cincin pertunangan
Lebih daripada sekadar berita pertunangan, tumpuan peminat terarah kepada cincin mewah yang disarungkan pada jari manis Swift.
Merupakan rekaan pereka barangan kemas popular Kindred Lubeck dari Artifex Fine Jewelry, cincin itu menampilkan batu potongan lama (old mine cut) tujuh hingga sembilan karat yang disalut pada emas.
Nilai cincin tersebut menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pakar dan segelintir daripadanya menganggarkan ia sekitar AS$500,000 (RM2.3 juta) dan boleh mencecah hingga AS$5 juta (RM21 juta).
Walaupun angka sebenar masih menjadi teka-teki, kebanyakan pemerhati bersetuju ia merupakan salah satu cincin pertunangan paling mewah pernah dimiliki selebriti antarabangsa.
Ikatan cinta sejak 2023
Kisah cinta Swift dan Kelce mula berputik sejak musim panas 2023 apabila kedua-duanya kerap dilihat meluangkan masa dan bercuti bersama.
Malah, Swift sebelum ini pernah hadir ke acara karpet merah Tight End University bersama atlet NFL itu dan berkongsi beberapa momen peribadi yang menggambarkan hubungan mereka semakin serius.
Kelce, juara Super Bowl tiga kali itu juga pernah memuat naik foto dengan Swift di media sosial, sekali gus membuktikan mereka telah lama menyulam cinta walaupun tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung status tersebut.
Pasangan kaya raya
Mengikut laporan Forbes, nilai kekayaan bersih Kelce dianggarkan sekitar AS$70 juta (RM328 juta), manakala Swift pula kini berada di puncak kerjayanya dengan nilai harta melebihi AS$1.5 bilion (RM7 bilion).
Dengan status kewangan yang kukuh dan populariti luar biasa, perkahwinan pasangan dua sejoli itu dijangka menjadi antara majlis selebriti terbesar dalam dekad ini.
Dengan ikatan pertunangan yang kini rasmi, peminat di seluruh dunia menantikan majlis perkahwinan mereka yang dijangka menjadi antara detik bersejarah dalam dunia hiburan dan sukan antarabangsa.
Swift yang cukup dikenali dengan coretan lagu cinta pada awal kariernya, kisah bersama Kelce seakan membuktikan bahawa Love Story yang selama ini hanya di pentas muzik kini benar-benar menjadi realiti. . — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram