Seni bela diri Aikido 'perisai' buat wanita ketika berdepan situasi bahaya, kurangkan risiko jenayah


  • Sukses
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Pengetahuan asas seni bela diri antaranya Aikido mampu menjadi perisai awal kepada wanita sebelum mendapatkan bantuan. — Gambar/@pjcitycouncil

MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Aikido Shudokan Malaysia menganjurkan program International Aikido Shudokan Training Camp 2025 sebagai inisiatif memperkasa wanita dalam meningkatkan kesedaran tentang keselamatan diri.

Program menghimpunkan pengamal Aikido dari seluruh dunia itu bertujuan memperkukuh aspek keselamatan diri wanita melalui pendedahan teknik pertahanan berasaskan seni bela diri Jepun yang mudah dipelajari, praktikal dan berkesan.

Seorang daripada jurulatih Aikido Malaysia, Elfira Ruizna Ortega Ramlan berkata, program itu dirangka agar dapat memberi kesedaran lebih meluas khusus buat para wanita di kawasan Petaling Jaya, Selangor.

BACA LAGI: Dulu bertugas di awan biru, hobi wanita KL kini bertukar bisnes, buka bengkel kraf sulaman

BACA LAGI: Bukan semua negatif, gosip dengan kawan bantu eratkan hubungan, baiki emosi

Elfira Ruizna bertanggungjawab memberi ilmu seni bela diri menerusi demonstrasi.

Bertanggungjawab mengajar teknik seni bela diri Aikido kepada peserta, Elfira memastikan setiap peserta membawa pulang ilmu yang berguna buat diri sendiri dan ahli keluarga.

Menurutnya, inisiatif sedemikian amat penting untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita berkaitan aspek keselamatan diri, sekali gus berupaya mengurangkan risiko jenayah.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat satu ilmu berguna yang boleh dipraktikkan untuk diri sendiri dan seisi keluarga.

“Setiap jenis seni bela diri ada kelebihan tersendiri dan perlu dipelajari secara menyeluruh. Kita tidak boleh bergantung hanya pada satu dan jangan had diri untuk belajar semua seni bela diri,” katanya ketika ditemui Majoriti pada Majlis Perasmian Bengkel Kesedaran dan Pertahanan Diri Wanita MBPJ, Sabtu.

Nor Azah antara peserta menyertai program yang meningkatkan akan kesedaran seni bela diri terhadap golongan wanita.

Elfira turut menekankan bahawa pengetahuan asas seni bela diri mampu menjadi perisai awal kepada wanita sebelum mendapatkan bantuan.

Sementara itu, peserta wanita, Nor Azah, 38, bersetuju bahawa program tersebut wajar dianjurkan dengan lebih kerap.

Nor Azah yang juga merupakan jururawat terlatih MBPJ berkata, setiap teknik diajar dalam program itu boleh dipraktikkan ketika berada dalam situasi bahaya.

Ibu kepada dua anak itu juga berkata, ilmu mempertahankan diri penting bagi setiap lapisan masyarakat.

“Penting untuk para ibu di luar sana untuk mendidik anak-anak kepentingan ilmu mempelajari seni bela diri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon menegaskan, komitmen bagi memastikan wanita mendapat peluang sama rata dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi.

“Usaha ini selari dengan Pelan Tindakan Pemberdayaan Wanita Petaling Jaya 2030 yang merangkumi lima tonggak utama iaitu ekonomi, prasarana, hak membuat keputusan, pendidikan dan kesihatan.

“Pelan ini menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG) dan menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya inklusif, progresif dan selamat untuk semua,” katanya.

Setiap teknik dan ilmu ditunjukkan menerusi demonstrasi kepada para peserta.

Menurut beliau, program kali ini juga merupakan sebahagian daripada 24 program sempena sambutan bulan kemerdekaan 2025.

Pihaknya turut berusaha meningkatkan peranan wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk keusahawanan, kesihatan, pendidikan serta keselamatan komuniti.

Sumbangan wanita

Dalam perkembangan berkaitan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan majlis tersebut. 

Baginda menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa wanita melalui program seni bela diri.

“Wanita mempunyai potensi dan kelebihan unik untuk menyumbang dalam keluarga, pekerjaan dan pembangunan negara.

“Sejak Januari hingga April 2025, sebanyak 2,467 kes keganasan rumah tangga telah berlaku di seluruh negara dengan suri rumah dikenalpasti sebagai golongan paling terjejas.

“Justeru, kesedaran memperkasakan wanita akan terus menjadi salah satu ajaran penting negeri Selangor yang memerlukan komitmen tinggi daripada semua pemegang taruh bagi menjayakannya,” jelas Tengku Permaisuri Norashikin.

Katanya, program hari ini bukan sahaja bertujuan memberikan kemahiran pertahanan diri kepada wanita, tetapi meningkatkan kesejahteraan mental.

Sementara itu, penganjuran program latihan selama empat hari secara tidak langsung membuka peluang kepada pelatih Aikido tempatan untuk mengembangkan pengetahuan, mendalami kemahiran seni bela diri dan berkongsi pengalaman jurulatih antarabangsa.

Untuk rekod, MBPJ mencatat sejarah melalui Bengkel ‘Restraint and Removal - Aikido Concept’ berjaya menghimpunkan seramai 1,486 anggota penguat kuasa sekali gus menjadikannya penyertaan terbesar di Malaysia dengan pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram