
DALAM landskap F&B (food and beverage) yang semakin kreatif, kemunculan Double Zero Pizza memberi nafas baharu kepada pencinta piza tempatan.
Bukan sekadar restoran, ia adalah sebuah ruang yang menekankan reka bentuk minimalis ala Skandinavia, diadun dengan falsafah kulinari artisan.
Dari luar mungkin tampak sederhana, namun sebaik sahaja melangkah masuk, pelanggan akan merasai gabungan suasana santai, konsep moden dan pengalaman menjamu selera yang berbeza daripada restoran piza lain.
BACA LAGI: 'One of the greatest joys in my life', Zahra Aileen pelengkap hidup Sarah Hildebrand, suami
BACA LAGI: Ruang kerja konsep industrial zen, estetik jadikan ruang kerja di RekaBrick lebih santai
"Kami memang nak wujudkan satu ruang makan yang kasual, selesa, kualiti premium."
Itulah antara perkongsian daripada Pengurus Besar Double Zero Pizza, Danial Anis, yang mahukan pelanggan merasai pengalaman eksklusif di Double Zero Pizza.
Menurut Danial, 41, daripada asas pembuatan pizza sehingga sentuhan akhir semuanya dimasak dengan penuh jiwa.
"Semuanya dibuat dengan tangan, dari doh sampai topping, jadi vibes restoran pun kena selari ringkas, namun penuh jiwa," katanya kepada Majoriti.
Gabungan kayu, jubin putih dan tanaman hijau lengkapkan estetika Scandinavian. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Konsep Skandinavia, inspirasi dari Scotland
Idea membuka restoran itu tercetus daripada kecintaan pemilik terhadap piza ketika berada di luar negara.
Mereka sering mengunjungi sebuah restoran piza di Scotland berkonsepkan Skandinavia dan dari situ lahirlah ilham untuk membawa elemen sama ke Malaysia dengan sentuhan tersendiri.
"Keluarga pemilik memang peminat piza. Apabila travel, mereka suka ke satu tempat di Scotland yang ada Scandinavian bakery and pizzeria. Jadi kami cuba bawa konsep itu ke sini gabung identiti kami sendiri," kata Danial.
Rekaan dan hiasan dalaman restoran itu menekankan warna neutral, pencahayaan lembut serta susun atur ringkas.
Hasilnya, ruang makan terasa tenang, lapang dan mesra pengunjung sekali gus sesuai untuk keluarga, pasangan mahupun sekumpulan rakan yang ingin bersantai.
Interior restoran itu menekankan warna neutral, pencahayaan lembut dan susun atur ringkas. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Identiti visual Double Zero Pizza jelas dilihat sejak pintu masuk dengan dinding biru laut, rak kayu kemas dan pencahayaan hangat menjadikan ruang terasa moden tetapi mesra.
Bahagian kaunter dipenuhi dengan rak minuman berkonsep terbuka serta paparan kotak piza merah jambu yang menjadi signature, mencipta suasana kasual tetapi bergaya.
Di ruang dapur terbuka, pelanggan boleh menyaksikan sendiri proses piza artisan dibakar dalam ketuhar batu moden berwarna hitam yang menjadi pusat perhatian.
Susunan kayu bakar di bahagian bawah memberi sentuhan rustik, seolah-olah menyeimbangkan elemen minimalis dengan tradisi klasik piza.
Bahkan ruang kecil seperti bilik air pun tidak terlepas daripada sentuhan estetika dengan jubin putih, dinding kaca blok, tanaman hijau dan permaidani anyaman memberi rasa tenang serta selari dengan konsep Scandinavian yang menitikberatkan cahaya semula jadi dan keselesaan.
Identiti visual Double Zero Pizza jelas dilihat sejak pintu masuk dengan dinding biru laut, rak kayu kemas dan pencahayaan hangat. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Walaupun interior menjadi tarikan utama, Double Zero Pizza tetap serius dalam bab makanan.
Setiap doh menggunakan sourdough yang diperam empat hingga kelima hari, dengan ramuan buatan sendiri seperti bacon, duck confit hingga ricotta cheese.
"Bezanya kami dengan restoran lain, semuanya in-house. Bacon ambil masa seminggu nak buat, doh pula diperam empat hingga lima hari. Memang ambil masa, tapi itu yang jadikan piza kami ada karakter tersendiri," ujar Danial.
Tidak hairanlah, menu seperti Bacon & Sausage Pizza serta Truffle Pizza menjadi pilihan utama pelanggan.
Ketuhar batu moden hitam jadi pusat perhatian di ruang dapur terbuka. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Sebagai projek sulung dalam bidang piza di bawah kumpulan Two Tropics Sdn Bhd, Double Zero Pizza membawa misi untuk membina identiti tersendiri.
Dari reka bentuk, branding hingga menu, semuanya diolah dengan teliti agar konsisten dengan falsafah asal.
"Buat masa ini, kami fokus pada satu lokasi dulu. Tapi insya-ALLAH kalau buka cawangan lain nanti, kita akan kekalkan DNA yang sama, minimalis, artisan dan pengalaman makan yang tak ada di tempat lain," jelas Danial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram