[VIDEO] Tampil 'avant-garde' di acara fesyen, hak masing-masing ekspresi diri atau bergaya perlu ada batas?


  • Gaya
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) misalnya membuka peluang bagi penggemar fesyen untuk bereksperimen dengan gaya. — KLFW

MENGHADIRI acara fesyen sememangnya menjadi keterujaan buat penggemar dunia gaya kerana ia berfungsi sebagai medium untuk mengekspresikan cita rasa serta identiti masing-masing.

Ada yang memilih untuk tampil ringkas, manakala ada juga yang berani menonjolkan gaya avant-garde yang unik lagi pelik, atau 'over the top'.

Bagi segelintir individu, ia tidak menjadi isu kerana mereka percaya fesyen adalah ruang kebebasan diri.

BACA LAGI: Pendidik, aktivis wanita hijab pertama mara final pertandingan Mrs Singapore World 2025

BACA LAGI: Ini 3 cara kesan lokasi pasangan, ahli keluarga guna telefon pintar, Life360 ideal buat hubungan jarak jauh

 

Namun, ada juga yang kurang senang terutama apabila gaya yang dipamerkan bercanggah dengan syariat agama, misalnya lelaki berpakaian seperti wanita.

Bagi mendapatkan pandangan, Majoriti menemu bual beberapa individu mengenai hal ini.

Syarah Ain Samsudin, 30, berpandangan bahawa acara fesyen memang memberi ruang untuk setiap orang bergaya mengikut cita rasa sendiri.

"Dah namanya fesyen, jadi tak ada masalah pun kalau nak pakai baju biasa atau over. Itu hak masing-masing. Pakai je apa yang nak pakai," katanya.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas mengenai lelaki berpakaian seperti wanita, Syarah mengakui ia jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Namun begitu, beliau enggan mengulas lanjut kerana berpendapat perkara itu adalah antara individu dan Tuhan.

Shafira Dachi, 22, pula melihat fesyen lebih daripada sekadar pakaian.

Baginya, acara fesyen merupakan ruang untuk seseorang bereksperimen dengan gaya luar biasa.

Shafira (kiri) dan Syarah masing-masing manganggap acara fesyen merupakan ruang untuk individu mengekspresikan diri. — Instagram/@syarah_ainn

"Fesyen terkait dengan segala tentang ekspresi diri, seni dan kreativiti. Saya tak pernah menghakimi kalau orang bergaya berlebihan sebab itu cara mereka nak tunjuk ekspresi.

"Bila lagi nak tampil over kalau bukan dekat acara fesyen? Takkan hari-hari pakai biasa-biasa jee," katanya.

Beliau menambah, aspek agama memang sudah diketahui umum, namun dari sudut umum, beliau berpendapat tiada salahnya seseorang memilih gaya berlebihan kerana ia hak peribadi.

"Kita pun tak tahu kan dia Islam ke tak, mungkin dia bukan Islam. Jadi saya rasa bukan urusan kita nak komen," ujarnya.

Bagi Nabila Rahim, 38, acara fesyen merupakan peluang untuk individu tampil berani tanpa perlu takut diperli atau ditertawakan.

"Pada pendapat saya, tak apa untuk memakai apa sahaja yang mereka mahu. Ia menjadi peluang untuk bersinar. Kalau nampak pelik pun, itu masa untuk mereka cuba sesuatu yang berbeza.

"Tapi kalau rasa tak selesa dengan suasana itu, lebih baik elakkan diri daripada hadir," jelasnya.

Sementara itu, Nur Aleeya Badrul Hisham, 21, berpendapat seseorang boleh sahaja bergaya mengikut tema asalkan tidak keterlaluan.

"Terpulang kepada mereka nak pakai apa asalkan ikut tema. Cuma bagi saya jangan berlebihan sangat sampai menonjolkan nak jadi perempuan, benda tu tak salah," katanya ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram