
TIDAK semua berpeluang menjejakkan kaki ke pejabat Google Malaysia yang terletak di KL Central, Kuala Lumpur.
Namun, perkongsian menarik oleh @thefaizzainal di Instagram memberi gambaran eksklusif bagaimana suasana di dalam pejabat syarikat gergasi teknologi itu.
Seperti yang dijangkakan, pejabat Google bukan sekadar ruang kerja biasa.
BACA LAGI: 'One of the greatest joys in my life', Zahra Aileen pelengkap hidup Sarah Hildebrand, suami
Setiap sudut mempunyai falsafah tersendiri, dengan reka bentuk dalaman yang menekankan keseimbangan antara kreativiti, teknologi dan suasana santai.
Salah satu tarikan utama ialah ruang makan yang besar dengan konsep terbuka.
Semua makanan di kafe Google yang diberi nama 'Gerai Gugel' disediakan secara percuma untuk kakitangan.
Ia salah satu ciri sinonim dengan budaya kerja Google di seluruh dunia.
Suasana itu bukan sahaja memberi keselesaan, tetapi juga mendorong interaksi sosial antara pekerja.
Bagi mereka yang sukakan elemen interaktif, pejabat itu dilengkapi dengan sudut Lego dan ruang lounge lengkap bersama meja snuker dan permainan video.
Ruang acara pula dihiasi warna-warna ceria dengan kerusi berbentuk ikonik yang turut menjadi identiti Google.
Sementara itu, dinding pejabat turut menampilkan logo jenama terkenal di bawah Google seperti Waze, Android, Google Photos dan Cloud.
Menariknya, elemen-elemen itu digabungkan dengan dekorasi tumbuhan hidup yang dipantau menerusi panel kawalan suhu khas, sekali gus menjadikan ruang kerja lebih segar dan mesra alam.
Semua makanan di 'Gerai Gugel' disediakan secara percuma untuk kakitangan.
Salah satu ruang paling unik ialah Dreamscape Tunnel, lorong kreatif dengan cermin berwarna-warni, pencahayaan 'moody' dan suasana artistik.
Ruang itu bukan sahaja sesuai untuk berehat, malah direka khusus bagi penghasilan 'content' video dan fotografi yang estetik.
Google turut menyediakan kawasan santai menyerupai taman di aras tinggi, yang mana pekerja boleh melepaskan tekanan sambil menikmati suasana hijau.
Dari sini, pemandangan luar bangunan juga cukup menenangkan seolah-olah membawa elemen alam semula jadi ke tengah bandar.
Menariknya, setiap butiran dalam reka bentuk interior pejabat itu diolah dengan teliti daripada dinding asal yang dikekalkan, hingga paparan LED mini yang diletakkan di koridor.
Gabungan teknologi, seni bina moden dan elemen hijau mencipta pengalaman bekerja yang jauh dari rasa bosan.
Secara keseluruhan, Google Malaysia HQ bukan sahaja sebuah pejabat, tetapi sebuah ruang inspirasi.
Ia menggabungkan falsafah kerja yang fleksibel, keselesaan untuk pekerja dan sentuhan reka bentuk futuristik kekal mesra alam.
Tak hairanlah jika setiap yang melangkah masuk ke pejabat itu akan terasa seperti berada di dunia lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram