
HAKIM terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Frank Caprio, meninggal dunia pada usia 88 tahun selepas bertarung lama dengan penyakit kanser pankreas.
Sepanjang hayatnya, beliau dikenali sebagai seorang hakim yang penuh kasih sayang, rendah hati dan percaya kepada kebaikan manusia.
Namanya bukan sahaja disanjung di Rhode Island, tetapi juga di seluruh dunia hasil pendekatannya yang luar biasa semasa menjatuhi hukuman di mahkamah.
BACA LAGI: Ruang kerja konsep industrial zen, estetik jadikan ruang kerja di RekaBrick lebih santai
BACA LAGI: [VIDEO] Setiap 1 langkah di jubin pintar nyalakan 10 mentol, jana tenaga elektrik mesra alam
Melalui rancangan televisyen Caught in Providence, Caprio menjadi ikon apabila detik-detik perbicaraannya tular di media sosial.
Caranya yang penuh empati, humor dan rasa hormat kepada setiap individu menjadikan beliau dekat di hati masyarakat, khususnya apabila melibatkan golongan wanita, ibu tunggal dan keluarga miskin.
Caprio bukan sekadar dikenang sebagai seorang hakim, tetapi juga seorang suami, bapa, datuk, malah moyang penyayang.
Keluarganya dalam satu kenyataan menyifatkan beliau sebagai sumber inspirasi dalam berbuat kebaikan.
Gabenor Rhode Island, Dan McKee, turut menyifatkan beliau sebagai khazanah negeri dan mengarahkan bendera separuh tiang sebagai penghormatan.
Beberapa jam sebelum pemergiannya, Caprio sempat memuat naik video terakhir di Instagram, mengucapkan terima kasih kepada jutaan pengikut yang mendoakannya.
Dalam keadaan lemah, beliau masih menunjukkan rasa syukur dan kasih kepada orang ramai.
Berikut antara momen kekal terpahat dalam ingatan ramai terutama melibatkan nasib wanita dan keluarga:
1. Ibu tunggal dan anak kecil
Seorang ibu tunggal hadir ke mahkamah bersama anaknya kerana kesalahan trafik. Ketika diminta pendapat, anak kecil itu secara bersahaja berkata, hukuman lima hari penjara, mencetuskan ketawa dalam dewan. Caprio akhirnya membebaskan ibunya daripada denda sebagai simbolik kepada belas ihsan terhadap seorang ibu berjuang untuk keluarga.
2. Wanita warga emas mengaku salah
Seorang wanita tua terus mengaku bersalah tanpa alasan. Caprio, dengan senyumannya, berkata, beliau tidak mahu membuang masa wanita itu dan mengurangkan denda. Sikap hormat beliau terhadap warga emas amat dikagumi.
3. Kuasa senyuman
Seorang pelajar kolej hadir ke mahkamah kerana kesalahan lalu lintas. Senyumannya yang ikhals membuatkan Caprio tergerak hati untuk tidak mendendanya, sekali gus menunjukkan bahawa kebaikan kecil boleh bawa tuah.
4. Kanak-kanak enam tahun tentukan nasib ibu
Seorang ibu hadir kerana saman parkir, lalu Caprio meminta anak perempuannya berusia enam tahun membuat keputusan. Kanak-kanak itu memilih untuk mengurangkan denda dan Caprio mencadangkan wang lebihan digunakan untuk membeli sarapan anak-anak.
5. Kasih seorang bapa berusia 96 tahun
Seorang lelaki tua menjelaskan beliau memandu laju kerana perlu menghantar anaknya yang kelainan upaya ke rawatan perubatan. Caprio terharu dengan pengorbanan itu, membatalkan saman dan memuji kasih seorang ayah terhadap anaknya.
Momen-momen itu bukan sekadar hiburan televisyen, tetapi cerminan sisi kemanusiaan dalam sistem perundangan.
Caprio telah menunjukkan kepada dunia bahawa undang-undang boleh ditegakkan dengan penuh empati, pertimbangan dan kasih sayang.
Beliau akan terus dikenang bukan hanya kerana keputusan-keputusan bijaknya, tetapi kerana keberanian menegakkan keadilan dengan hati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram