'Zara rindu, sayang mama', rakaman suara Zara Qairina bongkar fitnah kejam, nafikan tuduhan arwah benci ibu


  • Cinta
  • Khamis, 31 Jul 2025

Zara Qairina Mahathir meluahkan rasa sayang dan rindu terhadap ibunya.

"I love you, ma… Zara sayang mama… Sayang. Cinta. Rindu."

Itulah suara terakhir Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, yang dirakam menerusi panggilan telefon kepada ibunya yang menjadi bukti kasih sayang tulus seorang anak kepada ibunya. 

Penceramah bebas, Marhamah Rosli memuat naik rakaman tersebut di Facebook dengan keizinan ibu arwah. 

BACA LAGI: 'Sampai makan dalam tandas, takut nak ke sekolah', Ayda Jebat imbas pengalaman diburu 'senior', tampil bersuara isu Zara Qairina

BACA LAGI: 'Saya trauma baca kes Zara Qairina', Adira saran ibu bapa harus didik anak jangan jadi pembuli, elak diri dibuli

Rakaman pendek itu menggambarkan hubungan erat antara Zara dan ibunya, sekaligus menolak tohmahan bagi segelintir pihak yang menyebarkan cerita sebaliknya.

“Rakaman ini disimpan kemas… kenangan terakhir… suara satu-satunya anak yang Allah pinjamkan buat seorang ibu. Dan kini, itulah satu-satunya pengubat rindu, kerana selepas ini, suara itu tidak akan kembali lagi,” katanya.

Menurutnya, video itu bukan dimuat naik untuk meraih perhatian, tetapi sebagai usaha menegakkan kebenaran yang tidak sempat diungkap oleh Zara sendiri.

“Itulah suara satu-satunya anak yang ALLAH pinjamkan buat seorang ibu… Dan kini, suara itulah yang tinggal sebagai pengubat rindu," katanya. 

Bukti jelas itu di muat naik Marhamah untuk menangkis segala fitnah yang mendakwa kononnya Zara membenci ibunya sehingga dikaitkan sebagai punca kepada kematian tragis remaja itu.

“Begitukah suara seorang anak yang membenci ibunya?," soalnya. 

Beliau turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pihak yang memutarbelit fakta dan menyebarkan naratif kononnya Zara membunuh diri kerana tekanan daripada keluarga.

“Zara sudah tiada. Tetapi maruahnya masih perlu kita pertahankan. Begitu mudah manusia menuduh, sedang yang difitnah sudah tidak mampu membela diri.

“Fitnah itu mungkin nampak berjaya hari ini, tetapi lambat-laun akan berpatah balik kepada yang memulakannya, menyebarkannya dan menyokongnya,” katanya..

Marhamah turut memetik ayat dari Surah An-Nur, ayat 19 sebagai peringatan keras. 

Sesungguhnya orang-orang yang suka agar (berita) kejahatan itu tersiar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih. (Surah An-Nur)

Pada 17 julai lepas, Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.

Siasatan awal mendapati arwah mungkin menjadi mangsa buli dan ditolak sebelum kejadian berlaku.

Bagaimanapun, siasatan polis masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram