Wanita kongsi amal bisik doa romantik pada telinga suami ketika tidur, tip pengikat kasih rumah tangga


  • Cinta
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Seorang isteri membisikkan doa penuh kasih sayang di telinga suami yang sedang tidur sebagai pengikat cinta rumah tangga. — Gambar hiasan/AI

DALAM kehidupan berumah tangga, cinta bukan sahaja hadir melalui kata-kata manis atau hadiah yang mewah, tetapi juga melalui doa tulus ikhlas.

Doa seorang isteri untuk suami sering digambarkan sebagai senjata paling ampuh, kerana ia lahir daripada hati yang penuh kasih sayang dan keinginan untuk melihat pasangan terus berada dalam lindungan ALLAH.

Baru-baru ini, perkongsian daripada seorang pengguna Threads, @Preggiesoftie, mencuri perhatian ramai apabila berkongsi amalan membisikkan doa pada telinga suami yang sedang tidur.

BACA LAGI: Renovasi berakhir dengan ruang bawah tanah, apresiasi objek 'luxe' bangkitkan suasana 'cosy'

BACA LAGI: [VIDEO] Dari pangsapuri moden 'tiada jiwa', Sonam ubah, hiasi dengan karya seni unik dari serata pelusuk dunia

Tanpa disangka-sangka, amalan kecil itu membawa kesan besar kepada suami bukan sahaja lebih lembut pada pagi hari, malah sempat melontarkan kata-kata penuh romantis yang membuatkan hati berbunga.

"Korang cuba doa tepi telinga suami masa dia dah tidur. Saya dah buat dua malam, bila dia bangun nak pergi kerja, jadi romantik sangat pagi-pagi. Pagi ini dia bisik 'I sayang you sangat-sangat tau',” tulisnya penuh ceria.

Doa dibisikkan juga ringkas, tetapi menyentuh hati: "Ya ALLAH, semoga jodoh aku dengan suami sehingga akhir hayat. Kau berkatilah kehidupan kami sekeluarga. Jaga keselamatan dia pergi balik kerja hari-hari, lindungilah dia. Semoga kuat sifat mawaddah dalam diri kami."

Perkongsian itu membuka ruang perbincangan hangat dalam kalangan warga Threads, yang rata-rata turut berkongsi pengalaman masing-masing mendoakan pasangan.

Ada yang mengakui ia menjadi rutin harian, ada juga terkenang momen lucu apabila cubaan berdoa di sisi suami bertukar menjadi situasi tidak dijangka.

Namun satu perkara jelas, doa dibisikkan dengan penuh ikhlas itu bukan sekadar kata-kata, tetapi sebuah hadiah yang mampu eratkan cinta, menenangkan jiwa dan menjadi pengikat rumah tangga hingga ke akhir hayat.

Bagi Farhana Sihab, doa dalam tidur suami sudah menjadi rutin.

"Saya berdoa sambil tangan kanan letak pada dada kiri suami. Alhamdulillah rumah tangga hampir 16 tahun. Semoga kami berdua kekal setia hingga akhir hayat."

Sementara itu, Yanazem pula mengakui beliau tidak membisikkan doa, tetapi tetap mendoakan suaminya setiap hari.

"Hari-hari suka tengok muka dia tidur sambil fikir, how’s my life without him. Walaupun gaduh, doa tetap sama. Moga Allah makbulkan doa untuk suami saya selalu."

Bagi Nshamiraaaa, doa itu lahir daripada rasa simpati melihat pengorbanan suami.

"Kadang-kadang kesian tengok dia bertungkus-lumus untuk anak isteri. Sentiasa doakan urusan dia dipermudahkan, rezeki diberkati. Tidur pun nak genggam tangan. Dua-dua sama-sama berjuang untuk esok hari."

Namun, tidak semua pengalaman berdoa di sisi suami berakhir romantis kerana ada juga kisah lucu hingga mencuit hati.

Seperti yang dialami Pandang_tepi: "Pernah kena tepuk muka sebab terbisik masa suami tidur. Alarm dia berbunyi kemain kuat dia masih lena ya."

Lebih mencabar pula pengalaman Syamimnatili yang pernah cuba mencium suami ketika tidur.

"Dia terkejut, terus tumbuk aku. Ingat hantu depan muka dia."

Manakala La_kurakura berkongsi cara uniknya: "Saya selalu bisik tiap pagi subuh. Bisik syahadah, sambung Surah Yasin. Tak sempat ayat ketiga, mesti dia terus bangun."

Doa seorang isteri untuk suami adalah doa mustajab.

Ia bukan sahaja melindungi, malah menyemai kasih sayang yang lebih dalam.

Amalan itu walaupun nampak kecil, mampu membawa keberkatan besar dalam rumah tangga, malah seperti pengalaman @Preggiesoftie, boleh menjadikan pagi lebih manis dengan kata-kata romantis daripada pasangan.

Akhirnya, sama ada dibisikkan perlahan pada telinga atau dipanjatkan dalam hati, doa tetap menjadi bukti cinta dan ikatan yang mendalam antara suami dan isteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram