
SUASANA duka menyelubungi keluarga dan rakan setugas Dr. Khaw Bee Ling, 60, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Croda del Becco, Pergunungan Dolomites, Itali pada 18 Julai lepas.
Berita pemergian pakar perubatan dalaman di Sungai Petani, Kedah tersebut paling dirasai anak tunggalnya, Melissa Koe Shu Fen, 28, yang berada di Amerika Syarikat (AS) ketika menerima panggilan mengejutkan itu.
“Saya benar-benar terkejut. Kehilangan ini membuatkan saya rasa seolah-olah hilang tempat bergantung… dia tetap ibu saya walaupun saya sudah dewasa,” katanya.
BACA LAGI: Bimbang risiko CCRIS, CTOS, wanita dilema diminta jadi penjamin 'loan' kereta untuk ahli keluarga
Melissa berkata, ibunya telah lama menantikan pendakian di Itali dan membuat persiapan rapi sejak tahun lalu.
“Dia membeli buku panduan, membuat kajian laluan gunung, menempah tiket lebih awal malah menyiapkan khemah serta beg tidur.
"Ibu memang seorang yang teliti dan penuh semangat bila bercakap tentang pendakian,” ujarnya.
Bagi Melissa, ibunya bukan sahaja doktor berdedikasi, malah seorang ibu tunggal yang berkorban seluruh jiwa raga demi memastikan anaknya membesar dengan baik.
“Ibu adalah generasi pertama dalam keluarga kami yang berjaya menamatkan pengajian tinggi. Ketegasannya untuk mengubah nasib keluarga membuatkan saya ada peluang untuk berdiri di tempat saya sekarang.
“Dia seorang ceria, bersungguh-sungguh, tetapi penuh empati. Saya masih ingat bagaimana dia sering menyumbang kepada pelbagai badan kebajikan sejak saya kecil,” kata Melissa yang kini bertugas di Minnesota, AS sebagai pakar pembangunan komuniti.
Katanya lagi, segala tunjuk ajar ibunya menjadi asas kepada perjuangan yang digalasnya sekarang.
“Ibu selalu ajar bahawa impian bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk masyarakat. Itulah nilai saya bawa dalam kerja hari ini. Ia hadiah paling berharga yang ditinggalkan,” katanya.
Menurut Melissa, antara kenangan terakhir paling bermakna adalah pertemuan mereka pada September tahun lalu kerana sempat berbual panjang dari hati ke hati.
“Saya bersyukur kerana kami sempat mengeratkan semula hubungan, bukan sekadar sebagai ibu dan anak, tetapi juga sebagai sahabat. Itu kenangan saya simpan seumur hidup,” jelasnya lanjut.
Pemergian Dr. Khaw turut dirasai rakan setugas dan masyarakat yang pernah mendapat sentuhan jasanya.
Pihak hospital tempat beliau berkhidmat menyifatkannya sebagai seorang tabib berhati mulia yang kehidupannya menjadi saksi kepada penyembuhan dan kebaikan.
Bagi Melissa, kisah-kisah diceritakan rakan dan kenalan ibunya selepas pemergian itu membuatkan dia lebih mengenali sisi lain insan kesayangannya.
“Saya tahu ibu seorang yang penyayang, tetapi selepas pemergiannya baru saya sedar betapa banyaknya orang yang disentuh oleh kebaikannya.
“Yang paling menyentuh hati saya, dia selalu bercakap dengan bangga tentang saya kepada orang lain. Mendengar semua itu membuatkan saya lebih bangga menjadi anaknya,” katanya. — The Star/BENJAMIN LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram