[VIDEO] Dari pangsapuri moden 'tiada jiwa', Sonam ubah, hiasi dengan karya seni unik dari serata pelusuk dunia


  • Hias
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Kediaman Sonam di Mumbai mempamerkan gabungan seni kraf tradisional India dan warisan keluarga dalam gaya maksimalis yang mewah dan penuh karakter. — AD

RUMAH milik pelakon terkenal Bollywood, Sonam Kapoor di Mumbai bukan sekadar kediaman semata-mata.

Ia umpama ruang yang mempamerkan keindahan karya seni hasil tangan India di setiap sudut.

Bersama pereka dalaman tersohor, Kavita Singh, Sonam membina sebuah ruang yang menerapkan seni warisan, perincian mewah dan sentuhan peribadi menjadikannya seperti 'lagu cinta' kepada dunia seni hiasan India.

BACA LAGI: Suite hotel tema 'Clueless' lengkap almari ‘Cher-approved’, bangkit nostalgia 1990-an

BACA LAGI: Ego suami tercabar bila isteri gaji besar? Dinamik hubungan pasangan berlainan tangga gaji

Sonam mungkin dikenali sebagai aktres kesayangan ramai, tetapi sebenarnya beliau juga seorang wanita yang mempunyai cita rasa seni dan kemahiran mengumpul barangan antik mengagumkan.

"Rumah ini saya tinggal bersama suami, Anand dan anak lelaki kami, Vayu. Ia adalah bab baharu dalam hidup saya sebagai wanita, pengumpul dan ibu," katanya ketika berbual di ruang tamu yang diterangi cahaya senja.

Beliau menceritakan bagaimana selama bertahun-tahun, setiap kali menjalani penggambaran di pelusuk India, beliau akan pulang membawa sesuatu yang unik seperti permaidani Bikaner yang ditemui di Istana Lakshmi Niwas sehingga lukisan kaca antik dari China.

"Kalau saya jatuh cinta pada sesuatu, tiada apa yang boleh menghalang untuk membawanya pulang," ujarnya sambil ketawa.

Di ruang tamu, koleksi lukisan Tanjore digantung pada dinding yang dicat oleh pelukis Vikas Soni. — AD

Awalnya, kediaman itu hanyalah sebuah pangsapuri moden disifatkan tiada jiwa, tapi dengan siling tinggi dan ruang terbuka, Sonam melihat potensi mencipta keindahan daripada kekosongan tersebut.

Sebahagian besar inspirasinya datang daripada wanita dalam keluarganya terutamanya neneknya yang dikenali dengan cita rasa seni, muzik klasik, dan hiasan rumah penuh gaya.

"Nenek saya selalu bangun seawal lima pagi untuk ke pasar bunga di Dadar, semata-mata mahu memenuhi rumah dengan haruman segar," kenangnya penuh kasih.

Sonam (kiri) berada di ruang tamu bersama Kavita yang bekerjasama mereka bentuk rumah beliau di Mumbai. — AD

Untuk menjayakan transformasi itu, Sonam mengajak ibu saudaranya, Kavita Singh, berganding bahu.

Bersama-sama, mereka mengubah ruang 7,500 kaki persegi itu menjadi muzium hidup yang terasa seolah-olah dihuni berdekad lamanya.

Langsir sutera kuning mentega mengalir, permaidani buatan tangan dari Jaipur, kusyen bersulam emas dari Syarikat Tekstil India yang dipulihkan di Lucknow serta selendang Jamawar warisan Kashmir, semuanya disusun rapi, memberi rasa kaya dan berlapis pada ruang.

Artis fresko terkenal dari Jaipur, Vikas Soni, turut menyumbang sentuhan istimewa dengan melukis dinding bilik bayi sebagai hutan India yang whimsical.

Ia merupakan hadiah yang amat bermakna buat Sonam.

"Rumah ini adalah penghormatan kepada semua tukang dan seniman tanpa nama yang telah mencurahkan jiwa mereka pada setiap benang, jubin dan sapuan berus yang menjadikannya indah.

"Ia adalah lagu cinta saya untuk mereka," tutup Sonam dengan senyuman. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram