
DI tengah kesibukan Jalan Ampang, tepat di hadapan Menara Citibank, sebuah hentian bas baharu berdiri megah dengan reka bentuk moden bercirikan keluli dan kaca.
Sekali pandang, ia kelihatan seperti hentian bas futuristik yang menambah seri kawasan tersebut.
Tetapi apabila diteliti, ramai mula bertanya, adakah ia benar-benar mesra pengguna atau sekadar cantik di mata?
BACA LAGI: [VIDEO] Trend tanaman air, hiasan ringkas untuk udara lebih sihat di rumah
BACA LAGI: Hanis Zalikha, Neelofa contoh ibu muda bijak, kongsi info bermanfaat, lindungi anak di media sosial
Perkongsian di Facebook oleh Rizal Hakimm menampilkan beberapa gambar hentian bas tersebut, lengkap dengan bumbung lutsinar, panel kaca penuh di sisi, serta tiang sokongan berbentuk ‘V’ yang menonjol.
Reka bentuk itu jelas bukan gaya konvensional yang biasa dilihat di jalan-jalan Kuala Lumpur.
Namun, di sebalik estetikanya, pelbagai komen daripada orang ramai membongkar sisi kurang mesra pengguna yang mungkin tidak difikirkan oleh pereka atau pihak berkuasa.
Akses sukar dan laluan terhalang
Bagi penumpang biasa, mencari ruang masuk yang mudah sepatutnya perkara asas pada sebuah hentian bas.
Namun, menurut Zikry Zamir, ia menjadi cabaran di sini.
"Belakang dah dihalang dinding kaca dan kerusi, nak masuk dari tepi ada dua tiang besi besar, nak masuk depan pula kena turun ke jalan tar.
"Kalau orang berkerusi roda, memang susah," katanya.
Keadaan itu bukan sahaja menyusahkan, malah meningkatkan risiko keselamatan kerana penumpang terpaksa berhadapan dengan kenderaan di jalan raya sebelum sampai ke dalam hentian bas.
Tiang ‘V’ dan bumbung lutsinar
Bagi Ahmad Zarl, tiang berbentuk ‘V’ yang dipasang di tengah laluan tepi bukan sahaja menganggu pandangan, malah menjadi penghalang besar untuk pengguna.
"Pengguna hentian bas nak berteduh, tapi bumbung lutsinar tetap biar panas kena. Hilanglah tujuan hentian bas itu.
"Selepas itu kerusi pula bentuk bulat, boleh buat orang tersepit. Siapa yang reka ini memang tak fikir tentang fungsi," katanya berseloroh.
Saf Wanx turut bersetuju bahawa tiang ‘V’ itu langsung tidak mesra OKU, walaupun secara visual keseluruhan nampak cantik.
Tempat duduk menggelusur
Bukan hanya soal teduhan dan akses, malah tempat duduknya juga mendapat kritikan.
Norhaida Zainal berkata, bentuk kerusi yang kecil, tanpa sandaran dan berpermukaan melengkung membuatkan penumpang berasa menggelusur atau mudah tergelincir ketika duduk.
Melihat kepada gambar tular itu, memang jelas hentian bas tersebut cuba menampilkan gaya moden dengan rangka keluli bersegi tiga di bumbung, kaca lut sinar dan bentuk kerusi unik.
Namun begitu dari segi fungsi, ia kelihatan mengabaikan beberapa keperluan asas penumpang seperti teduhan dari panas dan hujan, kemudahan akses untuk semua termasuk OKU, serta tempat duduk yang selesa.
Reka bentuk seperti itu mengingatkan kita bahawa dalam pembangunan infrastruktur awam, keseimbangan antara estetik dan fungsi sangat penting.
Cantik di mata tidak bermakna ia mesra untuk pengguna harian, lebih-lebih lagi di bandar yang panas dan sibuk seperti Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram