
MENANAM tumbuhan di dalam air bukan sahaja memudahkan penjagaan kerana tidak memerlukan tanah.
Malah tumbuhan itu mampu mempercantikkan ruang dan meningkatkan kualiti udara di dalam rumah.
Air di dalam bekas kaca memberikan kelembapan tambahan yang membantu mengurangkan masalah udara kering, terutamanya rumah yang menggunakan penghawa dingin.
BACA LAGI: Jangan remehkan 'love language' suami, ini bukan K-drama!
BACA LAGI: Tradisi bersulam kontemporari, perabot India serlah ciri kediaman konseptual masa kini
Menurut Persatuan Industri Agraria Jerman (IVA), anda tidak memerlukan tumbuhan akuatik khas untuk kaedah itu.
Banyak tanaman hiasan biasa juga boleh hidup subur di dalam air, asalkan ia tahan terhadap kelembapan tinggi dan tidak sensitif terhadap air bertakung.
Pilih tanaman dengan ketumpatan akar yang tinggi supaya penyerapan nutrien lebih maksimum.
Antara tumbuhan yang disyorkan:
- Monstera
- Schefflera
- Anthurium
- Ficus benjamina
- Philodendron
Bagi pencinta tanaman hiasan, buluh bertuah atau Lucky Bamboo (Dracaena sanderiana) juga merupakan pilihan klasik.
Spesies itu boleh didapati tanpa akar di kedai khusus, tetapi tanaman biasa juga boleh diubah menjadi tumbuhan air jika mengikuti langkah berikut:
Cara menukar tanaman pasu kepada tanaman air
1. Persediaan awal – Hentikan siraman selama beberapa hari sebelum memindahkan tanaman.
2. Bersihkan akar – Keluarkan tanaman dari pasu, goncang tanah yang melekat pada akar, kemudian bilas dengan air suam.
3. Pilih bekas – Gunakan bekas kaca bersih berisi air, pastikan daun tidak terendam. Bekas berbentuk melengkung adalah terbaik.
Tumbuhan air lebih selesa di kawasan teduh separa dengan cahaya tidak langsung.
Elakkan cahaya matahari terus kerana ia boleh merosakkan akar dan menggalakkan pertumbuhan alga.
Penjagaannya sangat mudah, cukup menukar air setiap satu hingga dua minggu dengan air paip segar.
Jika air paip terlalu keras, air mineral boleh digunakan.
Bagi nutrien tambahan, titiskan sedikit baja cecair khas untuk tanaman hijau mengikut sukatan yang disyorkan.
Gabungan hijau daun dan jernih air mencipta terapi visual.
IVA mencadangkan supaya menanam anak pokok atau keratan terus di dalam air sejak awal.
Ia membantu tumbuhan membentuk akar yang sesuai dengan persekitaran berair, sekali gus meningkatkan ketahanannya.
Menanam tumbuhan di dalam air bukan sahaja praktikal dan cantik, malah memberi manfaat kesihatan dengan mengekalkan kelembapan udara dalam rumah.
Hanya dengan penjagaan minima, anda boleh menikmati suasana segar dan hijau sepanjang masa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram