
APABILA wanita berpendapatan lebih tinggi daripada pasangannya, dinamik perhubungan agak berbeza bermula dari saat perkenalan, bercinta hingga membawa kepada perkahwinan.
Namun, seperti yang dikongsi beberapa wanita bergaji besar di Singapura, hakikatnya kebahagiaan tidak semata-mata diukur melalui angka gaji.
Pengurus pembangunan perniagaan, Jo-anne Peng, 46, berpendapatan sekitar S$18,000 (RM63,000) sebulan, mengakui tidak pernah menjalin hubungan dengan lelaki yang berpendapatan lebih daripadanya.
BACA LAGI: Kakak redah asrama lepas adik 'call' mengadu akan dipukul geng senior
BACA LAGI: Anak kena 'sawan tarik', ini panduan kecemasan buat ibu bapa
Bagi Peng, selagi dia selesa dari segi kewangan dan pasangan tidak mengharapkan wang daripadanya, itu sudah memadai.
Namun, ada harga yang perlu dibayar. Lama-kelamaan dia merasakan terlalu dominan dalam hubungan kerana terlalu fokus kepada hal-hal praktikal.
"Saya lupa menjaga keperluan emosi sendiri dan akhirnya rasa cinta itu hilang," katanya.
Ahli psikologi, Aloysius Tay menegaskan perasaan seperti itu wajar.
Ia apabila seseorang memikul beban kewangan lebih besar, mereka boleh mengalami keletihan emosi, apatah lagi wanita sering dibebankan dengan tanggungjawab sebagai pencari nafkah dan penyokong emosi pada masa yang sama.
Nilai dan sokongan bersama menjadi kunci hubungan kekal harmoni. — Gambar hiasan
Nilai kewangan lebih penting dari jumlah gaji
Bagi Jessica Lim, 41, yang sudah 23 tahun bersama suaminya, perbezaan gaji bukan isu besar.
"Apa yang penting, kami berkongsi nilai kewangan yang sama seperti cara berbelanja dan menyimpan," jelasnya.
Walaupun gajinya lebih tinggi, Jessica mengakui rasa selamat kerana pekerjaan suaminya stabil dan mampu membantu ketika dia berdepan risiko diberhentikan kerja.
"Saya tahu saya boleh bergantung padanya ketika masa sukar," katanya.
Pandangan itu turut dikongsi Amy Ang, 35, yang bekerja dalam bidang kewangan dan bergaji sekitar S$13,000 (RM45,000) sebulan.
"Saya tidak kisah lelaki itu bergaji lebih rendah asalkan dia hidup mengikut kemampuan dan ada perancangan kewangan.
"Apa yang saya cari sekarang ialah keselamatan emosi," jelasnya.
Perbezaan pendapatan tidak menghalang pasangan saling menghormati dan menyokong. — Gambar hiasan
Bukan soal siapa kaya, tapi siapa lebih menyokong
Menurut Tay, kejayaan hubungan bergantung kepada rasa hormat, emosi dan kesediaan berkongsi tanggungjawab.
"Apa yang penting ialah pasangan saling menghargai dan menyokong antara satu sama lain," katanya.
Peng, yang baharu bercerai, mengakui untuk hubungan seterusnya dia inginkan pasangan setaraf atau lebih berjaya.
Baginya, wang melambangkan usaha, disiplin dan pandangan jauh seseorang.
Namun, hakikatnya, bukan angka gaji semata-mata yang dikejarnya. Apa yang lebih penting ialah keupayaan pasangan untuk hadir sebagai penyokong ketika diperlukan.
Wang bukan segalanya
Walaupun sesetengah wanita berasa kejayaan mereka mengecilkan peluang romantik kerana pasangan lelaki mungkin berasa egonya tercabar, pakar hubungan menegaskan itu bukan alasan untuk menutup pintu hati.
Ramai lelaki sebenarnya tidak memandang rendah wanita berjaya, cuma kejayaan kewangan bukanlah faktor utama yang mereka cari.
Akhirnya, wang hanyalah salah satu elemen kerana kebahagiaan datang daripada hubungan tulus, di mana kedua-dua pihak berkongsi visi hidup yang sama dan sanggup berusaha bersama untuk mencapainya.
"Keberhasilan bukanlah hukuman. Cara lelaki, wanita dan masyarakat melihatnya, itulah yang menentukan," kata Tay. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram