Suite hotel tema 'Clueless' lengkap almari ‘Cher-approved’, bangkit nostalgia 1990-an


  • Hias
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Rekaan dalaman suite Clueless dibuat bagi mencerminkan personaliti watak filem yang diminati ramai itu.

BAGI meraikan ulang tahun ke-30 filem ikonik Clueless (1995), pereka kostum Mona May yang menghasilkan busana ikonik watak Cher Horowitz telah membina semula sebuah almari pakaian moden berkonsep 'Cher-approved' di sebuah suite hotel mewah di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat.

Suite khas berwarna merah jambu lembut di L’Ermitage Beverly Hills itu hanya ditawarkan untuk tempoh terhad.

Ia dilengkapi almari pakaian berjalan (walk-in closet) yang dipenuhi koleksi pakaian terpilih dari Bloomingdale’s, dipadankan sendiri oleh Mona May.

BACA LAGI: Kakak redah asrama lepas adik 'call' mengadu akan dipukul geng senior

BACA LAGI: Anak kena 'sawan tarik', ini panduan kecemasan buat ibu bapa

Bukan sekadar almari mewah, tetamu juga dapat menikmati butiran unik seperti pen gebu, kamera Polaroid, snek bertema Clueless, serta kad hadiah bernilai AS$100 (RM425) untuk berbelanja di Bloomingdale’s.

Penginapan turut disertakan dengan sesi gaya peribadi VIP, rawatan solekan atau spa oleh Dior Beauty dan akses kepada sebuah Jeep Wrangler putih bumbung terbuka persis kenderaan Cher dalam filem.

Bermula dari AS$1,995 (RM8,489) semalam hingga 1 September ini, setiap tempahan juga menerima keahlian percuma aplikasi rasmi Clueless bernama Fitted, yang membolehkan peminat mengakses almari maya sempena kempen ulang tahun filem.

"Segalanya cerah dan menyeronokkan, tepat seperti yang Cher mahukan," kata Mona May kepada The Hollywood Reporter.

"Saat melangkah masuk, anda akan rasa seolah-olah berada dalam dunia Clueless."

Beberapa item pakaian dalam koleksi itu mungkin sedikit lari daripada gaya asal Cher seperti Birkenstocks atau topi baldi namun banyak juga yang menjadi penghormatan terus kepada kostum klasik filem, termasuk gaun rambu merah terang yang mengingatkan kepada gaun Alaia yang Cher pakai ketika kejadian rompakan dalam filem.

Filem arahan Amy Heckerling yang diinspirasikan daripada novel Emma karya Jane Austen itu menampilkan Alicia Silverstone sebagai Cher, Stacey Dash sebagai sahabat baik Dionne, Paul Rudd sebagai bekas abang tiri Josh dan mendiang Brittany Murphy sebagai pelajar baharu, Tai.

Walaupun sudah tiga dekad, dialog dan gaya Clueless masih kekal segar di hati peminat.

"Saya terharu kerana sehingga kini, orang masih memetik pelbagai dialog daripada filem ini," kata Heckerling dalam wawancara pada 2020. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram