PENGGUNA media sosial kini heboh dengan kempen Blockout 2024 yang menyeru masyarakat dunia memboikot puluhan selebriti Hollywood berikutan sikap tidak peduli tentang isu Palestin.
Gerakan itu juga mengajak warga global menyekat akaun media sosial pempengaruh yang membisu malah tergamak menjadi duta produk Israel ketika rakyat Palestin sudah tujuh bulan terus dibunuh.
Tanda pagar #Blockout2024 dengan menyertakan senarai nama pelakon dan penyanyi popular tersebar di Facebook, X, Instagram dan TikTok.
BACA LAGI: Ajaran sesat: Pantau anak-anak elak ideologi sekularisme, solat tetapi berzina
BACA LAGI: Sampai doakan malapetaka buat pemimpin sendiri, komen melampau kes pokok tumbang ditegur
Kempen Blockout 2024 heboh dijalankan di media sosial.
Terdapat sekurang-kurangnya 90 nama selebriti Barat yang disebut dalam Kempen Blockout 2024 seperti disebarkan di media sosial.
Antaranya, Kim Kardashian, Taylor Swift, Beyonce, Haley Bailey, Kylie Jenner, Zendaya, Miley Cyrus, Selena Gomez, Khloe Kardashian, Ariana Grande, Doja Cat, Demi Lovato, Lizzo, Nicki Minaj, Travis Scott, Kanye West, Katy Perry, Zac Efron, Joe Jonas, Nick Jonas, Kevin Jonas, Justin Timberlake dan ramai lagi.
Senarai nama pempengaruh di Malaysia yang termasuk dalam kempen Blokout 2024
Baru-baru ini, kempen itu juga merebak ke Malaysia dan rakyat Malaysia juga memainkan peranan masing-masing untuk menyekat 30 selebriti Malaysia yang tersenarai dalam nama-nama pempengaruh yang diboikot gara-gara tidak lantang bersuara isu Palestin.
Antara pempengaruh yang tersenarai adalah Dahlia Rizal bersama suaminya, Ayra Messi, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Haziq Deen, Michelle Yeoh, Ameera Khan, Nabila Razali, Sheila Rusly, Anna Jobling, Mira Filzah, Neelofa, Merqeen, Daiyan Trisha, Datuk Seri Vida, Eina Azman, Janna Nick dan ramai lagi.
Bercakap soal itu, penceramah bebas, Ustaz Elyas Ismail menerusi laman Facebook berharap agar kempen Blockout 2024 tidak hanya bersifat sementara iaitu dibuat dalam satu jangka waktu tertentu sahaja.
"Kita gunakan platform yang kita ada seperti Facebook, TikTok, Telegram dan sebagainya untuk tunjukkan bantahan kita terhadap isu kezaliman yang terjadi.
"Zahirkan doa yang tidak pernah putus-putus supaya perkara ini tidak bermusim sifatnya," katanya.
Orang ramai menggunakan tanda pagar #Blockout2024 untuk memboikot pempengaruh yang tidak mengetengahkan isu Palestin.
Elyas Ismail turut memuji sikap masyarakat luar kerana memulakan kempen ini bagi menentang kezaliman yang terjadi di Palestin.
"Walaupun berlainan agama tetapi mereka ada satu perasaan untuk wujudkan gerakan ini bagi membela nasib yang berlaku.
"Tengok video-video orang barat sana mereka bangkit buat demokrasi dengan turun di jalanan sampai ambil tindakan macam-macam selain bercakap di dewan-dewan besar.
"Hari konvokesyen pun mereka zahirkan isi hati mereka terhadap kezaliman yang berlaku di Palestin," katanya.
Orang ramai menentang isu kezaliman yang terjadi di Palestin.
Berfikir mengenai semangat perjuangan yang dilontarkan oleh masyarakat luar negara menyebabkan Elyas Ismail teringat dengan kata-kata yang pernah disebut oleh seorang sahabat Nabi.
"Seorang tokoh sahabat Nabi, Amru Al ‘As banyak berurusan dengan bangsa terdahulu seperti bangsa Rom yang pernah hebat dalam tamadun sejarah," katanya.
Elyas berkata, antara ciri-ciri kemuliaan yang mereka ada adalah berkelakuan santun apabila berlaku fitnah, cepat bangkit apabila berlaku musibah, cepat bertindak balas apabila kalah dalam peperangan, baik terhadap golongan yatim dan golongan lemah yang ditindas.
"Selain itu, ciri yang paling baik adalah mereka akan menyekat, menghalang dan membantah kezaliman pemimpin-pemimpin. Inilah semangat yang kita mahukan, lebih-lebih lagi kita orang Islam," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram