Pilih kasih, jadi 'kambing hitam' antara 8 tanda tempat kerja toksik


  • Sihat
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Suasana 'toksik' dan isu etika kerja boleh menghancurkan hala tuju sesebuah syarikat. — Gambar hiasan/Freepik

BUDAYA kerja yang sihat merupakan kunci kepada tenaga kakitangan bersemangat, produktif dan setia kepada organisasi. 

Namun, sekiranya budaya toksik mula 'berakar', ia boleh menjadi racun senyap dan secara perlahan-lahan membunuh prestasi dan reputasi sesebuah syarikat.

Ironinya, situasi itu banyak dihadapi individu yang mungkin tiada tempat meluah dan buntu dalam membuat keputusan berkaitan hala tuju kerjaya.

BACA LAGI: 'Jangan normalisasi dosa', kartun K-Pop Demon Hunters pengaruh buruk kanak-kanak — Agamawan

BACA LAGI: Kaedah 'memberus' bantu kawal tantrum anak austistik, ini 6 cara boleh buat di rumah

Peka terhadap isu berkenaan, Pakar Perubatan Keluarga Suhazeli Abdullah di laman sosial berkongsi beberapa situasi dan petanda jelas menunjukkan sesebuah organisasi itu sebenarnya 'toksik' dan tidak harmoni.

Menurut Suhazeli, pekerja takut bersuara atau beri idea kerana bimbang pandangan dipersendakan antara tanda-tanda sesebuah organisasi itu toksik.

1. Pekerja lesu dan hilang semangat

Sekiranya majoriti pekerja kelihatan letih, tidak bersemangat dan kerap mengambil cuti sakit, ia merupakan petanda awal menjurus kepada budaya negatif.

Malah, perubahan tingkah laku seperti rakan sekerja yang dahulunya peramah menjadi pendiam juga patut diperhatikan.

2. Mulut pekerja bagai 'dikunci'

Pekerja takut bersuara atau memberi idea kerana bimbang pandangan mereka diabaikan atau dipersendakan. 

Situasi itu biasanya berlaku apabila suasana kerja dikuasai oleh individu tertentu atau kakitangan yang lebih mendominasi pengaruh syarikat.

3. Kepercayaan hilang

Janji tidak ditepati, keputusan dibuat secara rahsia, dan gosip berleluasa antara faktor yang boleh menghancurkan kepercayaan staf terhadap pimpinan majikan.

4. Budaya menyalahkan

Fokus perbincangan lebih kepada mencari siapa yang bersalah berbanding jalan penyelesaian.

Lebih parah apabila seseorang itu dijadikan 'kambing hitam' dan seterusnya mengundang tekanan serta depresi walaupun merupakan pekerja cemerlang. 

5. Majikan berkuasa sepenuhnya

Bos mengawal hampir segala keputusan berkaitan hala tuju dan penambahbaikan syarikat tanpa mengambil kira pendapat kakitangan bawahan.

Hal itu secara tidak langsung mengakibatkan staf takut untuk mengambil inisiatif atau membuat keputusan sendiri yang kemudiannya menghalang kreativiti mereka.

6. Persaingan tidak sihat

Rakan sekerja saling menjatuhkan atau menyembunyikan maklumat demi kepentingan peribadi. 

Malah, staf saling berbalah dan berebut untuk menjadi yang terbaik tanpa memikirkan perasaan serta masa depan karier rakan sekerja.

7. Pilih kasih

Paling sinonim dengan suasana di pejabat, isu pilih kasih ataupun favoritisme menjadi perosak utama yang menjejaskan keharmonian sesebuah institusi.

Peluang kenaikan pangkat, penghargaan atau projek penting hanya diberikan kepada individu tertentu tanpa alasan yang jelas, mewujudkan rasa tidak adil dalam pasukan.

8. Pemergian pekerja terbaik 

Satu kerugian besar dialami syarikat sekiranya staf terbaik meletakkan jawatan tanpa sebarang notis awal.

Paling bahaya apabila tindakan itu turut disertai beberapa lagi kakitangan lain yang juga akan terpengaruh untuk melakukan perkara sama sekali gus meninggalkan majikan dengan segala bebanan kerja.

Budaya kerja sihat bukan sekadar memberi keselesaan, tetapi juga mempengaruhi produktiviti dan kesejahteraan jangka panjang. 

Namun, jika tanda-tanda toksik tersebut mula kelihatan, ia isyarat jelas bahawa perubahan perlu dilakukan segera sama ada oleh pihak pengurusan atau pekerja itu sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram